fbpx

Alicia Amin tak kisah beraksi ‘daring’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALICIA AMIN

HAMPIR setahun melayari bahtera perkahwinan dengan seorang lelaki berprofesi doktor bernama Farzan, model dan aktres sensasi tinggi lampai, Alicia Amin berasakan masih terlalu awal untuknya memikirkan soal zuriat.

Alicia atau nama sebenarnya, Raja Alicia Raja Amin tidak mahu terburu-buru bergelar seorang ibu. Baginya, dia masih belum puas menikmati kehidupan waktu muda.

“Mungkin saya akan akan jadi ibu pada usia 30 tahun. Sekarang usia baru 26 tahun. Suami pun masih muda, 27 tahun usianya.

“Saya tidak mahu terburu-buru soal anak. Sebab sekarang, saya mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang lakonan dan peragaan. Kalau dah hamil nanti, saya tak boleh bagi komitmen 100 peratus terhadap kerjaya.

KATA Alicia, ramai yang melabel dirinya seorang yang sombong tanpa mengenalinya dengan lebih dekat terlebih dahulu.

Anak, tunggu dulu

“Sebab nak jaga anak. Begitu juga situasi yang didepani suami. Dia kerja sebagai doktor dan kebanyakan waktu, dia sentiasa sibuk merawat pesakit,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Disebabkan pandemik Covid-19 dan kesibukan jadual kerja masing-masing, sehingga kini, bekas peserta Asia’s Next Top Model musim kelima itu mengakui, dia dan suami masih belum punya kesempatan untuk berbulan madu.

“Kami baru berkahwin dan belum puas ‘enjoy’. Bulan madu yang ‘proper’ pun belum sempat lagi. Resepsi kahwin pun tak buat sebab bermacam perkara berlaku sejak setahun dua ini.

“Kita ‘lepak’ dulu dan kalau suami ada cuti sehari dalam seminggu itu, kita pergi ‘dating’ keluar makan dan sebagainya.

“Senang cerita, tak nak terburu-buru,” ungkap Alicia.

Dalam pada itu, ditanya tentang sistem sokongan yang diberikan oleh suami terhadap dirinya untuk terus terlibat aktif dalam dunia lakonan, Alicia berkata, Farzan seorang yang sangat memahami.

“Suami saya seorang yang sangat menyokong. Saya rasa, diri sendiri yang banyak dedahkan dia dengan hal-hal glamor. Dia pula selalu suntik semangat kepada saya agar sentiasa percaya diri.

“Dia pun jenis layan sahaja dan selalu paksa saya cuba sesuatu yang baharu dalam karier dan hubungan kami, sama-sama ‘masuk air’,” katanya.

TERBUKA melakonkan watak ‘daring’, Alicia berkata, dia okey berbuat demikian demi menyampaikan mesej yang tepat kepada para penonton. – SHIDDIEQIIN ZON

Aksi ‘daring’

Mengulas tentang keterbukaan dirinya melakonkan babak ‘daring’ dalam projek drama mahupun filem, Alicia mendedahkan, dia tidak mempunyai masalah andai perkara tersebut bertujuan menyampaikan mesej kepada penonton.

Ujarnya, kadang-kadang, perihal tersebut dibatasi budaya industri lakonan tempatan yang bersifat tidak terbuka untuk keluar daripada kepompong kelaziman.

“Semasa penggambaran, nak ‘shoot’ seksi itu dan ini. Tapi realitinya, saya macam, alamak, saya sendiri pakai lebih seksi apabila keluar dengan suami.

“Kalian sendiri tahu, kerenah ahli Lembaga Penapisan Filem (LPF). Bila nak keluar (filem atau drama), ‘baju ini pendek sangat, bahagian (badan) ini tak boleh nampak’.

“Membina kerjaya di Malaysia, saya tak bimbang sangat pasal sama ada kita boleh atau tak boleh (beraksi seksi). Kadang-kadang, orang kita ‘ambitious’ (pasang impian tinggi) dan saya sukakannya.

“Kalau tanya saya sama ada bersifat terbuka membawakan watak atau beraksi seksi demi projek lakonan, saya tiada masalah kalau itu untuk menyampaikan mesej secara lebih berkesan kepada penonton,” katanya.

DRAMA terbaharu lakonan Alicia berjudul I Promise Janji Anaqi kini sedang hangat ditayangkan menerusi saluran Astro Ria.

Transisi model, pelakon

Mengambil contoh drama bersiri Euphoria yang dijayakan pelakon antarabangsa, Zendaya, Alicia menjelaskan, apa yang ditonjolkan pelakon itu atas nama seni adalah satu budaya kerja yang barangkali boleh dipraktikkan di negara ini.

“Lakonan dia mungkin mengganggu (dari segi seksual dan sebagainya) tetapi barangkali itulah kunci jalan cerita. Dijayakan demi menyampaikan mesej kepada penonton.

“Macam dunia peragaan juga. Setiap baju yang kita peragakan bukan mencerminkan diri kita yang sebenar. Kita peragakan (baju) mewakili jenama dan pereka fesyen.

“Kalau orang fikir ‘soft porn’ disebabkan apa yang kita bawa dalam projek lakonan, kalian sendiri sedia maklum tentang hal itu.

“Projek drama yang divisualkan dengan indah, ada babak seks tapi bila fikir balik, kalau tiada semua itu (babak berani dan seksi), mesej ingin diberikan kepada penonton mungkin tak sampai,” kata pelakon filem Salina itu.

Sebelum menggulung bicara, Alicia berkata, dia berpuas hati dengan graf kerjaya seninya terutama dalam bidang lakonan yang kian membuahkan hasil apabila mula diberikan kepercayaan produksi tempatan melakonkan watak-watak besar.

“Kebanyakan kita mungkin bukan seorang pelakon yang baik pada permulaan tapi kita belajar dan cuba perbaiki diri dari semasa ke semasa. Begitu juga dengan saya.

“Saya gembira dengan fasa yang sedang saya jalani sekarang.

“Untuk terus memperbaiki diri, saya tak kisah kalau saya teruk dalam menjayakan sesuatu peranan, cakap sahaja.

“Cakap di mana saya teruk dan kenapa, kerana saya ingin jadi lebih baik.

“Kalau dunia peragaan mungkin kita tumpang tuah pereka fesyen tetapi berbeza dengan bidang lakonan.

“Kalau tak okey kualiti yang saya terjemahkan dalam apa-apa projek, jangan sugarcoat (kata semuanya okey). Jujur dengan saya,” ulasnya menutup perbualan.

ALICIA kini berpuas hati dengan graf kerjaya seninya terutama dalam bidang lakonan yang kian membuahkan hasil apabila mula diberikan kepercayaan produksi tempatan melakonkan watak-watak besar.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI