PETALING JAYA – Kisah wira banjir, Azwan Omar atau lebih dikenali ‘Abang Viva’ semakin tular dan mendapat perhatian di media sosial sehingga ramai yang ingin memberi dan menawarkannya hadiah memandangkan jasa yang ditumpahkan kepada mangsa-mangsa banjir cukup besar.
Dia yang secara sukarela datang menyelamatkan dan membantu mangsa-mangsa di kawasan yang ditimpa bencana banjir dengan bot persendiriannya.
Dalam pada itu, terdahulu seorang usahawan yang juga Pengarah Shalicious Empire Sdn. Bhd., Wan Siti Aishah Wan Hasan mencari Azwan untuk menghadiahkannya sebuah kereta untuk kegunaan peribadi sebagai tanda terima kasih atas pengorbanannya.
Menerusi perkongsian di laman Instagram milik usahawan tersebut, dia telah berjaya menghubungi Azwan dan bertanyakan kesudiannya untuk menerima pemberian tersebut, namun pemuda itu dilihat belum memberikan kata putus.
Katanya, Azwan ingin memberi fokus kepada misi membantu mangsa banjir terlebih dahulu dan akan mempertimbangkan tawaran tersebut semula setelah selesai urusannya.
“Korang jangan ganggu dia dulu, biar dia selesai apa yang patut.
“Apabila semua dah selesai, ‘Abang Viva’ boleh hubungi sha dan apa pun keputusannya, sha hormati,” tulis usahawan tersebut menerusi hantaran di Instagram.
Sementara itu, rata-rata orang ramai memuji cara pemuda tersebut yang lebih memfokuskan misi bantuan dari perkara lain.
“Abang Viva macam berat nak terima hadiah, sempat lagi beri tahu dia tak buat apa-apa dan tak mampu nak jaga, dia memang ikhlas membantu tanpa mengharap balasan,” kata @Butul Nda Belibut.
“Rendah diri sungguh Azwan, sampai dia cakap dia bukan senang nak tanggung kos penjagaan kereta tersebut, moga Allah balas kebaikannya,” kata @KkaChuiii.
“Terbaik cara dia balas, memang berjiwa besar, moga melimpah ruah rezekinya dan rakyat Malaysia sentiasa menyokong awak,” kata @Hafizul Helmi. – K! ONLINE.