LUMUT – Seorang penjawat awam ditahan kerana disyaki merogol dua beradik dalam kawasan belukar di Ayer Tawar dekat sini dalam kejadian yang berlaku enam hari lalu.
Lelaki berusia 21 tahun yang bertugas di Kota Samarahan, Sarawak itu sedang bercuti serta berada di daerah Manjung telah ditahan kira-kira pukul 2.20 petang semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menerima aduan daripada dua mangsa berusia 37 dan 20 tahun mengadu dirogol suspek pada pukul 2.38 pagi pada 21 Disember lalu.
“Kejadian berlaku di sebuah kawasan belukar di tepi jalan Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar.
“Ketika kejadian, dua adik beradik itu menaiki sebuah motosikal untuk pulang ke rumah pada pukul 12.05 tengah malam sebelum ditahan suspek yang juga menaiki sebuah motosikal di laluan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek mengugut akan membunuh mangsa jika tidak mengikut arahannya sebelum dirogol.
Jelasnya, hasil maklumat, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah berjaya mengesan dan menangkap suspek.
Beliau memberitahu polis turut merampas pakaian dan kenderaan yang digunakan suspek ketika kejadian tersebut.
Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari bernula semalam manakala kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 376 dan 392 Kanun Keseksaan. -K! ONLINE.