PETALING JAYA – Jumlah pembiayaan peribadi tanpa faedah khas untuk mangsa banjir, BSN MyRinggit-i Banjir ditingkatkan kepada sehingga RM10,000 berbanding RM5,000 sebelum ini, susulan kenyataan terkini kerajaan.
BSN MyRinggit-i Banjir menawarkan kadar kosong peratus untuk tempoh pembiayaan 3.5 tahun termasuk moratorium enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan buat mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.
Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam satu kenyataan berkata, permohonan akan dibuka esok, 27 Disember 2021 dan mangsa banjir boleh memohon dengan melengkapkan borang secara dalam talian melalui laman web rasmi BSN, www.bsn.com.my.
“Bagi pemohon yang mempunyai masalah atau tidak mempunyai akses untuk ke laman web berkenaan, sila kunjungi cawangan BSN berdekatan bagi membuat permohonan.
“Dokumen yang diperlukan semasa permohonan adalah salinan kad pengenalan, salinan bil elektrik rumah yang terjejas dan surat pengesahan daripada Pegawai Daerah/JKKK/laporan polis berkenaan rumah yang terjejas,” katanya.
Menurut BSN, status permohonan akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas dan pemohon turut boleh menyemak status permohonan dari semasa ke semasa melalui laman web rasmi BSN.
Maklumat lanjut boleh didapati di www.bsn.com.my atau hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan BSN melalui talian 1300-88-1900. – K! ONLINE