fbpx

Kes pertama Omicron di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Akmal

Oleh AMRAN MULUP

MELAKA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kes positif Covid-19 varian Omicron pertama di negeri ini membabitkan seorang wanita berusia 34 tahun yang baru pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan ibadah Umrah bersama suaminya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kementerian mengesan kes tersebut melalui ujian jujukan genom PCR (Genotyping Assay) yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), semalam.

Menurutnya, wanita berkenaan bersama suaminya telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Melaka untuk tujuan pemantauan rapi dan keadaannya dilaporkan stabil.

Beliau berkata, wanita itu bersama suaminya melakukan Umrah dari 4 hingga 15 Disember lalu dan telah menjalani ujian swab PCR Covid-19 sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menaiki penerbangan Saudi Airlines (SV3842) kira-kira pukul 9.50 malam.

“Pasangan itu telah diarahkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah selama tujuh hari. Namun tiga hari selepas menjalani ujian swab, mereka telah disahkan positif Covid-19.

“Kes tersebut dirujuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Bukit Serindit dan telah dibenarkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah kerana kes tersebut berstatus kategori 1 iaitu tidak bergejala.

“Namun semalam, kementerian mengesahkan hanya isteri pasangan itu sahaja yang positif varian Omicron manakala suaminya positif Covid-19. Mereka berdua telah ditempatkan ke wad isolasi di Hospital Melaka untuk pemantauan rapi dan keadaan dilaporkan stabil,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kesihatan Negeri, Wisma Persekutuan, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, hasil siasatan terdapat sembilan kontak rapat kepada pasangan itu melibatkan lapan ahli keluarga iaitu enam berada di negeri ini, manakala dua lagi tinggal di Kuala Lumpur turut mengerjakan umrah dan seorang lagi ialah pemandu van ejen Umrah.

Menurutnya, hasil ujian, lima daripada mereka disahkan positif Covid-19 iaitu empat di Melaka dan seorang di Kuala Lumpur.

Jelasnya, kesemua mereka telah diarahkan untuk menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Sehubungan itu, katanya, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) masih menjalankan siasatan lanjut dengan terperinci terhadap kes pertama varian Omicron yang dikesan di negeri ini. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI