HULU LANGAT – Kerajaan bersetuju mewujudkan sebuah pasukan petugas khas pasca banjir dan persediaan bencana gelombang kedua bagi menyegerakan bantuan kepada penduduk yang terjejas di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan itu akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali dianggotai bersama agensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Kita lihat kerja-kerja pasca banjir ini adalah lebih rumit dan memerlukan koordinasi yang lengkap dan sempurna dengan kerjasama agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Ia supaya pembahagian sumbangan dan bantuan wang ihsan serta membaik pulih rumah dapat dilakukan dengan segera.
“Jadi saya bersetuju untuk menubuhkan pasukan khas pasca banjir dan persediaan kemungkinan banjir gelombang kedua,” katanya pada sidang akhkbar di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan itu akan ditubuhkan secepat mungkin agar tidak berlaku kelewatan membabitkan aspek penyaluran bantuan kepada penduduk yang terjejas.
Dalam pada itu, Ismail menegaskan bantuan yang diumumkan baru-baru ini bukan sahaja akan diberikan kepada mangsa yang berada di Pusat Perpindahan Sementara (PPS) malah kepada semua yang terjejas.
“Sesiapa yang terjejas akibat banjir, segera laporkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pegawai daerah atau mengubungi ketua kampung supaya bantuan dapat disalurkan segera,”jelasnya.
Justeru itu, beliau meminta semua kementerian dan agensi berkaitan untuk menyegerakan proses bantuan kepada mangsa banjir.
“Saya tidak mahu ada karenah birokrasi yang akhirnya menyusahkan orang ramai sedangkan mangsa banjir ini telah pun susah. Jadi jangan menyusahkan mereka kerana kerajaan sudah menyediakan sumber kewangan yang mencukupi untuk membantu mereka yang terjejas,” katanya.-K! ONLINE.