PETALING JAYA – Pelakon berbakat besar Azhan Rani menyelar sikap sesetengah pihak yang masih mengamalkan sikap ‘double standard’ atau pilih bulu walaupun ketika negara sedang teruji dengan musibah banjir.
Seperti yang dimuat naik pelakon tersebut dalam Instagram miliknya, Azhan, 45, berkongsi tangkap layar mengenai dakwaan ada mangsa banjir dikerah untuk membersihkan kawasan perumahan mereka sebelum dikunjungi orang kenamaan atau VIP.
“Baru dapat lunjur kaki balik dari penggambaran, aku terbaca ini (status Twitter). Masha-Allah, entahlah sahih atau tidak. Tapi aku percaya mana-mana tempat pun mesti ada cerita.
“Teringat perbualan telefon aku tentang seorang sahabat di Bentong, Pahang. Katanya sejak kejadian banjir sampai hari ini bekalan elektrik masih belum disambung,” tulis Azhan.
Kata pelakon drama Nur itu lagi, seharusnya golongan VIP yang datang ke lokasi bencana atas tujuan untuk membantu tidak perlu dirai dengan majlis sambutan bagi menjimatkan kos.
“Nama pun nak datang bantu, datang sahaja. Kos upacara sambutan pada aku dapat jimatkan banyak wang ringgit dan tenaga ramai orang,” katanya.
Menerusi hantaran terbaharunya, Azhan berkongsi tangkap layar responds pengguna Whatapps berhubung dakwaan mangsa banjir tentang aktiviti pembersihan di kawasan terjejas disebabkan kunjungan orang kenamaan di sebuah kawasan di Selangor.
Menyedari lumrah kehidupan, Azhan mengakui percaya, di mana-mana pun, pasti ada golongan bawahan yang akan cuba menimbulkan kekaguman atasan menerusi setiap usaha yang dilakukan. Budaya sedemikian dirasakan menjadi punca kepada para pemimpin terlepas pandang situasi sebenar kesusahan rakyat.
“Aku sendiri percaya mana-mana tempat pun yang kat bawah akan cuba kagumkan orang atasan apa yang dia boleh buat. Cuma dengan ada budaya ni la rasanya pemimpin-pemimpin berjiwa rakyat ni selalu terlepas pandang apa situasi sebenar yang patut mereka tahu.
“Kita hentikan kebencian. Kita sama-sama perbaiki. yang mampu kita tolonglah yang memerlukan walaupun dengan sepotong doa. Insya-Allah,” tulis Azhan.
Terdahulu, tular dalam media sosial ciapan seorang individu apabila mendakwa penduduk yang terjejas banjir diarahkan untuk membersihkan kawasan kediaman mereka yang terjejas disebabkan jadual kunjungan golongan VIP. – K! ONLINE