PERJALANAN seni ditempuh penyanyi Yuka Kharisma ibarat melayari samudera berombak yang ada pasang surutnya.
Bermula sebagai peserta separuh akhir program realiti Indonesian Idol musim kelima, pelayaran seninya kemudian berlabuh di negara ini pada 2008.
Apa yang sudah dilaluinya selama ini bukan mudah, apatah lagi kerana faktor jarak yang memisahkan kasih antara dia dengan keluarga tercinta di Indonesia.
“Sungguh, tak mudah berjauhan dengan keluarga tercinta terutama ibu yang berada di Bandung. Kadang-kadang agak memeritkan.
“Tetapi saya temui kebahagiaan di sini apabila mendirikan rumah tangga dengan orang Malaysia. Aturan jalan yang ditetapkan Tuhan sangat indah,” katanya.
Mahligai bahagia yang dibinanya bersama suami tercinta, Ahmad Jeffny pada Mei 2016 cukup bahagia. Atas rasa itu, dia mengabadikan momen-momen indah mereka menerusi sebuah lagu baharu berjudul Tentang Rasa.
Penyanyi yang juga komposer dan penerbit asal dari Aceh itu melancarkan Tentang Rasa hanya dalam masa dua bulan selepas menerbitkan single Melihatmu Bahagia.
Kisah cinta
Kata wanita berusia 34 tahun itu, dia cukup terharu melihat sambutan hangat yang diterima menerusi Melihatmu Bahagia sehingga tidak menunggu lama meluncurkan material terbaharu.
Tambah pemenang kategori Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik (APM) ke-15 itu, lagu Tentang Rasa sebenarnya diilhamkan beberapa tahun lalu, ketika dirinya masih bujang.
“Lagu ini sudah lama saya cipta, sebelum menikah lagi. Saya sangat suka dengan lirik dan melodinya yang ringkas dan romantik.
“Ibarat sebuah rasa cinta yang tulus dan murni tanpa ada maksud tersembunyi. Hanya menyayangi dengan sepenuh hati,” katanya.
Lagu tersebut yang mendapat sentuhan suami tercinta dalam bahagian penulisan lirik dan komposer bersama menceritakan tentang rasa dalam diri seseorang yang sangat murni, jujur dan tulus.
Melodi yang tenang dengan alunan gitar akustik mengasyikkan lantas menggamit memori indah saat bersama orang dicintai, disulami genre ‘folk’.
“Saya memperuntukkan masa seminggu bagi menyiapkan lagu ini. Terima kasih buat suami tercinta yang banyak membantu.
“Sepanjang proses rakaman, saya banyak tersenyum ketika menyanyikan lagu ini kerana membawa kembali memori manis semasa kami berkahwin,” ujarnya.
Kukuh nama
Sebagai penghibur, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu sangat mementingkan rasa dalam setiap karya yang dinyanyikan atau hasil ciptaannya sendiri.
Kata Yuka, semua lagunya harus mempunyai alur cerita yang tersendiri, ditambah dengan penghayatan melodi dan bait lirik yang mendalam agar nyanyiannya sampai ke hati pendengar.
“Saya seorang penyanyi yang sedari kecil sudah mencintai panggung. Dari zaman remaja memulakan karier sebagai penyanyi, saya sanggup mengadakan persembahan selama berjam-jam di atas panggung.
“Signatur muzik atau bunyi nyanyian saya sangat bervariasi. Sebab bagi saya, setiap rasa perlu diraikan dengan jujur. Pendirian hidup saya dalam karier adalah untuk berkarya sebebas-bebasnya seperti minda yang terbuka tanpa batas,” tegasnya.
Sementara itu, dia yang sudah lama menetap di negara ini mengakui Malaysia ibarat separuh jantung hatinya.
Tempat yang penuh nostalgia dan di sinilah dia mengejar impian, cinta dan cita-cita.
“Kalau dahulu, Malaysia seperti rumah kedua, namun jujur saat ini saya katakan, negara ini adalah rumah pertama saya. Saya menyukai Malaysia kerana di sinilah saya temukan matlamat hidup yang sebenar.
“Harapan saya agar single Tentang Rasa dapat menghadirkan suasana romantis kepada sesiapa pun yang mendengarnya, serta membawa nama Yuka Kharisma dengan lebih kuat dan dikenali,” ujarnya.
Lagu Tentang Rasa boleh dimuat turun menerusi iTunes Store dan dinikmati melalui pelbagai aplikasi penstriman seperti Apple Music, Spotify, JOOX, YouTube Music, KKBox dan Deezer.