fbpx

‘Tiada tampil tolong bersih lumpur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD berdepan kesukaran untuk kerja pembersihan lumpur di kediamannya di Kampung Sungai Sop, Hulu Langat susulan kekurangan tenaga kerja dan tanah yang sudah keras dan tebal.

HULU LANGAT – Kira-kira 57 penduduk dari 16 buah rumah di Kampung Sungai Sop, di sini hidup dalam kebuntuan selepas lumpur tebal yang dibawa bersama banjir sejak seminggu lalu masih tidak dapat dibersihkan berikutan kediaman mereka berada dalam kawasan ‘terpencil’.

Akibatnya, ia menyukarkan pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan masuk untuk membantu tugas pembersihan.

Tinjauan Kosmo! di Kampung Sungai Sop semalam mendapati, kawasan yang diduduki itu agak terpencil kerana dikelilingi premis-premis kilang.

Berikutan lambat membersihkan lumpur selepas ditenggelami banjir selama dua hari, kotoran itu kini semakin mengeras berikutan cuaca kembali baik sehingga menyukarkan lagi tugas-tugas pembersihan.

Seorang penduduk, Moha­mad Samsul, 50, mendakwa, telah menghubungi pihak berkuasa berhampiran untuk mendapatkan bantuan pembersihan, namun hampa.

“Pihak berkuasa yang dihubungi itu tidak dapat meng­akses ke lokasi ini kerana agak terpencil serta dikelilingi kilang-kilang. Sampai kini tiada bantuan tiba sampai lumpur sudah menjadi kering dan keras.

“Saya mewakili penduduk kampung memohon bantuan tenaga kerja untuk pembersihan dari semua pihak memandangkan tenaga dan kudrat saya tidak mampu untuk membuat pembersihan atas faktor usia,” kata­nya ketika ditemui semalam.

Katanya, banjir kali ini merupakan yang terburuk sejak 30 tahun menduduki kampung itu.

“Semasa air mula naik, saya bawa isteri, lima anak dan empat cucu untuk berlindung di sebuah kilang perabot berdekatan. Pihak kilang itu menghulurkan bantuan makanan dan bilik sebagai tempat berlindung.

“Banjir yang berlaku minggu lalu tidak terkawal, air naik begitu cepat mujur pemilik kilang membantu. Sehingga hari ini bilik itu masih diduduki semua cucu saya,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nur Atmawati, 32, berkata, terdapat pelbagai bantuan seperti makanan, pakaian, bantal, lampin bayi dan cadar telah dihulurkan pelbagai pihak.

“Keutamaan penduduk kini adalah mendapatkan bantuan tenaga kerja dan peralatan kebersihan yang mencukupi untuk pembersihan banjir lumpur di kediaman.

“Bantuan peralatan kebersihan daripada sebuah kilang pembinaan berdekatan tidak mencukupi untuk membersihkan kediaman kami yang dilanda lumpur. Kami memohon bantuan tenaga kerja atau lebih banyak peralatan untuk kami untuk kerja pembersihan,” ujarnya.

Menurut Mohamad Fauzi, 56, pula, dia mengakui banyak pihak tidak mengetahui kedudukan dan arah jalan ke kawasan kampungnya disebabkan kedudukan yang bukan lokasi tumpuan.

Selain itu, Faizul Jo, 40, berkata, kehadiran beliau bersama pasukan misi bantuan dikenali Barracuda Adventure Team dari Kelantan ke kawasan Kampung Sungai Sop adalah untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan seperti makanan, minuman, ubat-ubatan dan pakaian kepada mangsa terjejas.

“Kami tiba malam tadi (kelmarin) sebagai tanda mengenang semula jasa penduduk Selangor yang menghulurkan bantuan ketika beliau bersama rakyat Kelantan menghadapi musibah banjir pada tahun 2014.

“Ketika kami menghadapi banjir teruk pada 2014, banyak pihak dan rakyat Selangor tampil membantu. Kini, tiba masa kami untuk membalas budi,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI