JURULATIH Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL), Noorahiza Azmi mendedahkan, latihan berterusan yang diterapkan pasukan adalah kunci kejayaan mereka bergelar juara Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan tahun ini.
KL mengesahkan status itu selepas berjaya menewaskan seteru utama, Johor 61-26 pada aksi final kejohanan edisi ke-42 yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara kelmarin.
“Terima kasih kepada semua pemain kerana sanggup berkorban menjalani latihan berterusan serta komitmen tinggi dalam setiap perlawanan. Aspek latihan amat penting kerana bola jaring adalah sukan berpasukan.
“Inilah hasilnya daripada latihan berterusan yang kami terapkan walaupun ada ketikanya ia terpaksa dilakukan secara virtual,” katanya selepas tamat aksi final semalam.
Sementara itu, jurulatih Johor, Rohaya Muhamad tetap berpuas hati dengan status sebagai naib juara memandangkan para pemainnya telah memberikan segala-galanya untuk cuba menewaskan KL semalam.
Bagi Rohaya, kekalahan Johor semalam adalah disebabkan kesilapan sendiri selain faktor nasib tidak menyebelahi mereka.
“Kami akan cuba perbaiki setiap kelemahan pada masa akan datang. Walaupun tak muncul juara tetapi kami gembira kerana mencapai sasaran ke final,” jelasnya.
Tempat ketiga Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan 2021 menjadi milik Perak selepas menewaskan Terengganu 45-32 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.