fbpx

Siasat kes Omicron di Indonesia selepas pulang dari Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes positif Covid-19 varian Omicron di Indonesia melibatkan warga negara tersebut yang pulang dari Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kes adalah seorang lelaki berusia 20 tahun pulang ke Indonesia pada 10 Disember dengan ujian Covid-19 adalah negatif semasa ketibaan.

Katanya, hasil siasatan di Malaysia mendapati, kes merupakan tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Depo Tahanan Semenyih ditahan pada 22 September bersama-sama tiga lagi rakan.

“Keempat-empat mereka telah melakukan saringan kemasukan ke depo pada 23 September dan kesemuanya negatif. Bagaimanapun, dua rakannya telah dibebaskan pada 24 September kerana mempunyai dokumen lengkap.

“Hanya lelaki tersebut dan seorang lagi rakan kes telah disabitkan kesalahan serta dihantar pulang ke Indonesia pada 10 Disember setelah selesai perbicaraan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, rakan kes yang pulang bersama dimaklumkan adalah negatif Covid-19 pada saringan kedua manakala, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mendapatkan maklumat mengenai kontak rapat kes serta punca jangkitan.

“Komunikasi dengan pihak Kedutaan Indonesia di Malaysia dan Kementerian Kesihatan Indonesia (KKI) masih diteruskan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kes.

“KKM juga sedang bekerjasama dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia bagi menjalankan siasatan, pengesanan kontak kepada kes serta bagi langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya,” ujarnya.

Khairy Jamaluddin berkata demikian susulan KKM mendapatkan maklumat melalui Kedutaan Indonesia di Malaysia dan KKI berhubung kenyataan KKI pada 23 Disember mengenai pengesanan kes positif Covid-19 dengan varian Omicron pada 21 Disember.

Ia selepas hasil ujian saringan lelaki tersebut pada 16 Disember di Indonesia semasa dalam tempoh kuarantin selepas ketibaan dari Malaysia. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI