PUTRAJAYA – Mangsa banjir yang kehilangan dokumen dan surat perakuan pernikahan di Wilayah Persekutuan boleh mendapatkannya semula secara percuma di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, begitu juga dokumen Sijil Kursus Praperkahwinan kepada bakal pengantin yang dianjurkan Jawi di Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, susulan situasi semasa banjir yang melanda di beberapa buah negeri, Jawi telah diminta untuk membantu mangsa banjir mendapatkan semula dokumen pernikahan di Wilayah Persekutuan seperti surat perakuan nikah yang musnah akibat musibah banjir.
“Begitu juga dokumen Sijil Kursus Praperkahwinan kepada bakal pengantin yang dianjurkan Jawi di Wilayah Persekutuan, mangsa banjir boleh memohon semula sijil berkenaan secara percuma.
“Manakala, bagi mangsa banjir di kalangan graduan Darul Quran Jakim juga boleh memohon semula sijil atau diploma pengajian yang musnah akibat musibah banjir,” ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, permohonan untuk mendapatkan semula dokumen ini tidak perlu secara tergesa-gesa dan boleh berurusan terus dengan agensi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jawi.
“Ini adalah usaha agensi Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir.
“Marilah bersama-sama kita terus mendoakan agar mangsa-mangsa banjir dan seluruh keluarga, anggota keselamatan, petugas barisan hadapan, sukarelawan dan semua pihak diberikan keselamatan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang melaksanakan misi bantuan,” jelasnya. – K! ONLINE