JAKARTA – Satu rakaman video memaparkan seorang lelaki bersanding dan menghadiri majlis konvokesyennya secara serentak menjadi tular di media sosial Indonesia baru-baru ini, lapor laman berita Suara.com semalam.
Menerusi video yang dimuat naik dalam akaun TikTok milik @maddun.photo itu, kelihatan seorang lelaki lengkap memakai jubah konvokesyen sedang menghadiri acara tersebut secara maya.
Dia berdiri di atas pelamin bersama isterinya yang lengkap berpakaian pengantin.
“Perasmian graduan maya bagi program program pengajian Kejuruteraan Industri,” demikian kata pengacara majlis.
Netizen yang menonton video tersebut kemudian meninggalkan pelbagai komen.
“Dapat ijazah bersama ijab kabul sah,” komen seorang netizen.
“Bahagianya jadi berganda,” komen seorang netizen lain. – AGENSI