fbpx

Habis kenangan ‘dihanyutkan’ bah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI FASEHA (kanan) di hadapan khemah majlis perkahwinannya yang musnah akibat dilanda banjir di Kampung Cemperai, Dengkil baru-baru ini. – FAISOL MUSTAFA

DENGKIL – “Habis pelamin kami kena banjir, tak ada satu pun gambar kenangan,” kata pengantin baharu, Siti Faseha Zainudin, 31, susulan angan-angannya mengabadikan detik bersejarah sebagai raja sehari pada 18 Di­sember lalu di pelamin musnah akibat banjir.

Ia berikutan rumah keluar­ganya di Kampung Cemperai, di sini, dinaiki air hampir paras si­ling sekaligus menyebabkan ­majlis perkahwinan yang sepatutnya menjadi kenangan indah mereka tergendala.

Mengimbas peristiwa banjir tersebut, kakitangan Majlis Perbandaran Sepang itu berkata, dia dan suami, Muhammad Hafiz Keliwon, 30, yang juga kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melangsungkan pernikahan di Masjid Jameatus Solehah, Dengkil pukul 10 pagi.

“Habis sahaja nikah, kami pulang ke rumah. Waktu itu air sudah ada di luar rumah dan kami sangka banjir ‘biasa-biasa’ sahaja memandangkan ia sering berlaku sewaktu hujan.

“Namun, pada pukul 10.30 pagi, air naik hingga ke bahagian luar pintu rumah dengan cepat, seterusnya masuk ke rumah. Habis pelamin kami, tidak sempat bergambar kerana banjir,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Walaupun tidak dapat bergambar kenangan di pelamin, dia dan suami sempat bergambar kenangan memakai baju nikah di kawasan banjir di rumahnya.

“Alhamdulillah, saya sempat selamatkan baju pengantin yang disewa, namun hadiah pemberian tetamu habis basah terkena banjir,” katanya.

Dalam pada itu, anak sulung daripada lima beradik itu berkata, banjir tersebut turut melenyapkan kenangan bersama arwah ayahnya yang meninggal dunia pada 2016.

“Banyak yang rosak termasuk almari dibeli arwah ayah dile­takkan di dalam bilik saya serta pe­rabot lain berikutan rumah dinaiki air hampir ke siling.

“Emak saya juga sedih kerana banjir kali pertama serta terburuk ini sekelip mata melenyapkan semua kenangan dengan arwah. Gambar arwah ayah sewaktu menerima pingat daripada Sultan ­Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga rosak,” katanya.

Katanya, berikutan banjir, makanan yang ditempah untuk menjamu 550 tetamu dibungkus serta diagihkan kepada orang ramai dan tetamu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI