fbpx

Faham peritnya bencana, Mark Adam bantu mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARK ADAM antara artis yang turut menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

PETALING JAYA – Dalam kegusaran memikirkan keadaan keluarga di Filipina yang dilanda taufan minggu lalu, Mark Adam tetap meneruskan kerja amal turun padang membantu mangsa banjir di sekitar Lembah Kelang.

Katanya, pengalaman melalui bencana alam ketika di kampung kelahiran menguatkan keinginan meringankan beban individu lain yang berdepan kesulitan disebabkan banjir.

“Saya sendiri pernah beberapa kali merasai pengalaman menakutkan sejak kecil ketika taufan melanda Filipina selain melihat keluarga kehilangan harta benda dan kemusnahan.

“Kejadian terbaharu adalah pada 17 Disember lalu apabila taufan kuat dengan skala empat merosakkan bumbung rumah yang didiami ibu bersama kakak saya, manakala rumah jiran ada yang rosak teruk.

“Jadi apabila banjir melanda Lembah Kelang diikuti kejadian di beberapa negeri lain, takkan saya mahu melihat saja? Di atas usaha isteri dan guru-guru Suara Academy, kami beli barangan keperluan peribadi untuk mangsa di Shah Alam, Selangor dulu.

“Pada masa sama, isteri juga sentiasa berhubung dengan keluarga di kampung dan menyalurkan bantuan sekadar termampu untuk memastikan saudara serta tetangga dapat sedikit sebanyak pertolongan,” katanya kepada K! Online.

Dalam kejadian minggu lalu, Taufan Rai yang membadai selatan dan tengah wilayah kepulauan Filipina mengakibatkan 23 kematian selain menjejaskan kira-kira 300,000 penduduk negara itu.

Filipina antara negara paling terjejas akibat perubahan iklim apabila dihentam kira-kira 20 ribut dan taufan setiap tahun namun peristiwa 17 Disember lalu adalah bencana taufan terkuat yang melanda kali ini.

Terdahulu, penyanyi yang juga pelakon dan guru vokal itu berkongsi video mengenai keadaan rumah keluarganya di Cebu yang mengalami kerosakan akibat dilanda ribut taufan di Instagram.

Dalam hantaran itu, kelihatan beberapa kediaman mengalami kerosakan pada bahagian bumbung akibat impak dihentam ribut termasuk rumah keluarga Mark.

Berkongsi lagi keadaan keluarganya, mereka kini sudah selesai membaikpulih kerosakan bumbung namun bekalan elektrik masih belum disambung dengan hanya bergantung kepada generator buat sementara waktu.

“Syukur tiada kemalangan jiwa. Emak, adik beradik dan anak-anak saudara saya sudah kembali ke rumah. Kami selalu berhubung dengan mereka untuk tahu perkembangan.

“Sambutan Krismas pun dibuat secara sederhana sebab kesan air naik masih ada. Saya cuma mahu emak gembira dan selalu tanya khabar. Asalkan mereka selamat itu sudah cukup melegakan buat kami di sini.

“Harapan saya bekalan elektrik di sana dapat kembali pulih seperti sedia kala. Apa pun saya pasti keluarga dan jiran di kampung kuat berdepan dugaan yang sudah kerap dilalui ini,” katanya lagi.

Sungguhpun keluarganya dalam keadaan selamat, jauh di sudut hati, Mark tetap menyimpan keinginan pulang ke Cebu menziarahi ibu tercinta selepas niatnya terbantut sejak dua tahun lalu.

“Ikutkan saya memang mahu balik ke kampung selepas musim pandemik berakhir tetapi penerbangan terus ke sana belum dimulakan lagi.

“Sekarang berlaku pula taufan, jadi saya masih menunggu lagi penerbangan terus ke sana dibuka. Harapan saya semoga semuanya pulih dengan kadar segera,” luah penyanyi berusia 42 tahun itu.

Mengenai bantuan yang disalurkan kepada mangsa banjir di Shah Alam pula, mereka mengagihkan satu bag tahan lasak yang diisi selimut, tuala, pakaian dalam perempuan dan lelaki, baju tidur, kain pelikat, ubat gigi serta keperluan lain.

Katanya, pasukan yang turut disertai isterinya, Norazah Redzuan itu memasuki kawasan kampung sehingga ke lorong kediaman di kawasan terjejas untuk mengagihkan beg berkenaan.

“Semalam kami sudah menyerahkan barangan keperluan ke beberapa lokasi dan kerja pengagihan itu akan diteruskan lagi hari ini memandangkan masih banyak lagi keluarga di kawasan tersebut perlu dibantu,” katanya.

Turut terbabit dengan persediaan program realiti Hijrahkan Laguku terbitan TV Alhijrah yang bersiaran setiap Sabtu sejak lima minggu lalu, akuinya aktiviti amal yang digerakkan itu turut menyuntik semangat untuk terus kekal positif. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI