LONDON – Pengurus Everton, Rafael Benitez mengakui terkejut dengan keputusan penganjur Liga Perdana Inggeris yang menolak permohonan kelab itu untuk menangguhkan aksi menentang Burnley, malam esok.
The Toffees kini dihimpit isu kecederaan dan jangkitan Covid-19 hingga menyaksikan pasukan itu hanya memiliki 12 pemain termasuk tiga penjaga gol.
Lima pemainnya diuji positif Covid-19 selepas aksi menentang Chelsea minggu lalu.
Benitez juga kehilangan khidmat enam pemain senior ekoran kecederaan termasuk Richarlison, Andros Townsend dan Yerry Mina.
“Masalah kecederaan dan kes positif Covid-19 menyebabkan kami jangkakan yang perlawanan ini akan ditangguh. Sekarang saya perlu fikirkan tentang 11 pemain yang cergas.
“Saya cukup terkejut apabila kami tetap perlu bermain,” kata Benitez.
Kes harian Covid-19 di United Kingdom kini melebihi angka 100,000 dan keputusan untuk meneruskan aksi Liga Perdana Inggeris begitu mengejutkan ramai pihak.
“Kami berdepan risiko apabila kemungkinan orang yang dijangkiti berada di sekeliling kami agak besar,” katanya.
Situasi itu menyebabkan Benitez mungkin terpaksa menggunakan khidmat Dominic Calvert-Lewin lebih awal selepas dia tersisih daripada pasukan sejak Ogos lalu ekoran masalah kecederaan paha dan kini berada dalam proses pemulihan.
“Kami memiliki pemain yang cedera dan mereka mungkin terpaksa bermain walaupun belum cergas,” kata Benitez. – AGENSI