EPISOD musibah yang menimpa negara kita kebelakangan ini menyuluh terang terhadap kelemahan sistem kawalan bencana, rasuah serta kewujudan tentera siber dalam cubaan menutup ketidakadilan yang berlaku.
Oportunis mengambil kesempatan melalui kutipan derma kilat mangsa banjir menagih simpati rakyat di media sosial walhal ada sesetengah kes, wang masuk ke poket sendiri.
Sementara itu, si hero mendabik dada menyebarkan fakta palsu demi populariti yang tidak kekal lama.
Itulah yang terjadi apabila negara dilanda musibah, masih ada pihak belum bangun daripada kelalaian dan hanya memikirkan kepentingan sendiri tanpa mengutamakan konflik bencana yang perlu diselesaikan.
Berdasarkan sebuah artikel hasil penulisan Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaapar, beliau menekankan pemahaman terhadap risiko bencana serta pengukuhan kesiapsiagaan menghadapi bencana bah itu.
Jelas beliau, badan bertanggungjawab wajib mengutamakan pencegahan bencana banjir daripada hanya sekadar bertindak secara pembetulan atau dalam erti kata lain hanya mula menggerakkan tenaga kerja selepas kejadian bah berlaku.
Jelasnya, kajian berterusan menggunakan pendekatan pelbagai bidang seperti kejuruteraan, geologi, sosial sains dan ekonomi hendaklah digerakkan bagi mengatasi masalah ini.
Namun, pihak bertanggungjawab hanya mampu menuding jari dan menyorok di belakang lakonan aktivis di media sosial bagi menutup kealpaan dalam menangani bencana kali ini.
Tidak dinafikan, sepanjang musibah warga media sosial bersatu memberi amaran kenaikan air, info mangsa banjir terkandas serta berganding bahu menggerakkan bantuan tempat tinggal, pakaian baharu, selimut dan makanan buat mangsa bah.
Ini jelas menunjukkan rakyat negara ini mempunyai sifat moral yang tinggi ketika mengharungi kegelapan dan kesusahan bersama.
Tetapi, rakyat hendaklah berhati-hati menggunakan media sosial kerana ada pihak sanggup membuat video dan gambar palsu banjir bertujuan menakutkan pengguna selain mengaut keuntungan dengan membuat tabung derma palsu.
Menurut pakar psikologi kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Profesor Datuk Dr. Mohamed Fadzil Che Din berkata, ini merupakan satu perkara berbahaya dek faktor media sosial yang terlalu cepat bergerak sehingga sesuatu kebenaran sukar untuk diselidiki dahulu.
“Kita gemar menggunakan pemikiran gaya lama dan menggunakan akal yang pendek ketika dihidangkan dengan informasi baharu.
“Kebanyakan pengguna media sosial hanya melihat apa yang di depan mata sahaja dan membuat keputusan berdasarkan pemikiran tanggapan serta persepsi,” katanya.
Pada waktu yang sama, beliau menasihati pengguna agar membuat pemikiran kritis dan memikirkan alasan-alasan logik di sebalik setiap hantaran di media sosial terutamanya semasa bencana banjir. -K! ONLINE