PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan kepada peminjam yang terkesan akibat bencana banjir.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, justeru peminjam yang terkesan boleh mengemukakan permohonan kepada PTPTN bermula 28 Disember hingga 31 Mac depan.
“Butiran lanjut mengenai pelaksanaannya akan diumumkan oleh PTPTN. Keputusan ini diambil selari dengan aspirasi kerajaan hari ini yang prihatin serta komited membantu Keluarga Malaysia dalam saat yang mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, diharapkan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN ini dapat meringankan beban peminjam yang terkesan.
Ujarnya lagi, bencana banjir yang melanda negara mengakibatkan kemusnahan harta benda kepada mereka yang terlibat termasuk peminjam PTPTN. -K!ONLINE