LAS VEGAS – Bekas jaguh seni bela diri campuran (MMA) dunia, Dan Hardy berharap pertarungan melibatkan dua atlet UFC terkemuka, Jake Paul menentang Conor McGregor dapat direalisasikan pada tahun depan.
Sebagai rekod, Paul yang sebelum ini hanyalah petinju laman penstriman Youtube telah mencipta sensasi tersendiri apabila berjaya menewaskan bekas jaguh MMA, Tyrone Woodley dengan keputusan knockout satu tumbukan sahaja pada pertarungan di Florida minggu lalu.
Susulan itu, Paul berhasrat untuk bergelar petinju sepenuh masa dan mencabar semua jaguh UFC untuk bertarung dengannya termasuk McGregor yang dianggap sebagai antara atlet terbaik dalam gelanggang tersebut.
Hardy berkata, McGregor perlu segera bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh Paul kerana penganjur pasti tidak akan melepaskan peluang menganjurkan pertarungan tersebut dengan menawarkan wang tunai lumayan buat kedua-dua belah pihak.
“Saya jangkakan pertarungan Paul dan McGregor dapat disaksikan pada tahun depan kerana kita tahu Paul memiliki daya tarikan luar biasa menerusi platform youtube dan kini membuktikan kemampuan sebenar di atas gelanggang.
“Justeru, saya tidak terkejut jika mereka berdua bertarung di atas gelanggang yang sama kerana tawaran yang bakal diberikan oleh pihak penganjur pasti nilainya luar biasa dan sudah tentu lebih menarik berbanding pertarungan yang diatur oleh UFC,” katanya.
McGregor sebelum ini telah meraih wang tunai lumayan selepas bersetuju untuk bertarung dengan Floyd Mayweather pada 2017 dan kini sedang menjalani proses pemulihan selepas patah kaki ketika bersaing dengan Dustin Poirier untuk saingan UFC pada Julai lepas. – AGENSI