MINGGU lalu, baru sahaja tamat Entertainment Awards 2021 yang berlangsung dan dihadiri ramai selebriti serta penggiat seni Korea.
Merupakan antara program popular di SBS, sudah pasti ramai meneka dan mengharapkan bahawa program Running Man akan menang besar pada malam berprestij tersebut.
Malah, ramai juga yang menyebut nama selebriti terkenal Ji Suk-jin menerima anugerah utama (daesang).
Pun begitu, tebakan tersebut sama sekali meleset apabila dia sekadar menerima anugerah bagi kategori Pekerja Kehormat yang pertama kali dipertandingkan.
“Saya sudah pergi ke banyak majlis anugerah, namun ini adalah pertama kali saya mendengar ‘pekerja kehormat’.
“Tahun depan merupakan ulang tahun ke-30 saya dalam industri. Selepas 30 tahun bekerja, saya gembira kerana mempunyai karier yang stabil. Seronok dapat anugerah yang belum pernah dimenangi ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan.
Rata-rata netizen dan peminat berkata, mereka perasan wajah hampa yang terpancar pada raut lelaki itu selain turut kecewa dengan keputusan juri bagi anugerah tersebut.
“Sedih tengok Ji Suk-jin yang meluahkan perasaannya. Itu bukanlah anugerah yang sepatutnya diberikan kepada seorang anak seni dengan 30 tahun pengalaman,” ujar netizen.