WASHINGTON – Sebuah firma Amerika Syarikat yang menyediakan perkhidmatan keselamatan web, Cloudflare menerusi laporan teknologi terbaharunya mendapati TikTok muncul sebagai laman web paling popular 2021, menewaskan penyandang tahun lalu, Google, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Menurutnya, TikTok, malah menewaskan laman web lain yang mengatasinya pada 2020 seperti Amazon, Apple, Facebook, Microsoft dan Netflix.
Cloudflare mendapati bahawa TikTok yang menduduki tempat ketujuh berbanding Google di tempat pertama pada 2020, mendapat sedikit ‘bantuan’ akibat pandemik yang memacunya pada kedudukan teratas tahun ini.
TikTok dan Google saling bersaing untuk kedudukan teratas sepanjang tahun ini dengan Google menjadi dominan pada Oktober dan November lepas sebelum TikTok kembali mengambil alih tempat pertama tersebut.
Secara keseluruhan pada tahun 2021, TikTok diikuti rapat oleh Google di tempat kedua dan Facebook di tempat ketiga, manakala Microsoft dan Apple melengkapkan kedudukan lima teratas.
Kedudukan keenam adalah Amazon, diikuti Netflix (7), Youtube (8), Twitter (9) dan WhatsApp di tempat ke-10.
Disebabkan sangat terkenal dalam kalangan generasi muda, TikTok telah memberi inspirasi kepada pelancaran platform lain seperti Instagram Reels, YouTube Shorts dan Triller.
Pada September, aplikasi tular itu berkata, ia mencecah 1 bilion pengguna aktif secara global. -Agensi