PORT DICKSON – Sindiket penipuan Macau Scam terus mengaut keuntungan kali ini melibatkan tiga mangsa yang kerugian sebanyak RM33,653 dalam tempoh sehari di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian semalam, mangsa pertama lelaki berusia 51 tahun yang bekerja sebagai penyelia tapak projek kerugian RM11,153 selepas menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pegawai bank.
“Mangsa telah dimaklumkan terdapat kad kredit atas nama mangsa telah digunakan untuk pembelian bitcoin.
“Panggilan disambungkan kepada pegawai Bank Negara untuk tujuan siasatan pihak polis, mangsa diminta untuk menyerahkan butiran perbankan akaun bank milik mangsa dan mendapati wangnya telah dipindahkan kepada individu tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Aidi Sham, mangsa kedua seorang wanita berusia 26 tahun bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan pula kerugian RM13,900 selepas menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Mangsa telah dimaklumkan terdapat tunggakan cukai atas nama syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa.
“Panggilan disambungkan kepada pihak polis Ibu Pejabat Polis Kontonjen (IPK) Terengganu untuk tujuan siasatan dan mangsa diminta untuk menyerahkan butiran perbankan akaun bank,” katanya.
Menurut Aidi Sham, seterusnya mangsa ketiga seorang pesara swasta berusia 62 tahun kerugian RM8,6000 selepas menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank.
“Mangsa telah dimaklumkan terdapat penggunaaan kad kredit atas nama mangsa telah digunakan untuk pembelian bitcoin.
“Panggilan disambungkan kepada pegawai Bank Negara dan untuk tujuan siasatan pihak polis, mangsa telah diminta ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) terdekat untuk mengubah had limit pengeluaran dan membuat pemindahan wang kepada akaun yang tidak dikenali,” katanya.
Aidi Sham berkata, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum (10) tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan. – K! ONLINE