fbpx

Tak payahlah datang kalau hanya untuk ‘content’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN rumah Farawahida di Shah Alam, Selangor yang dimasuki air.

PETALING JAYA – Penyanyi Farawahida memberi peringatan kepada mana-mana individu supaya tidak datang ke kawasan terjejas akibat banjir semata-mata mahu membuat kandungan atau ‘content’ dalam laman sosial.

Katanya, kunjungan sebegitu boleh menjejaskan kelancaran operasi menyelamat atau menyalurkan sumbangan pihak yang benar-benar masuk membawa bekalan keperluan dan membantu proses pembersihan kediaman.

“Kalau sekadar nak tengok-tengok dan ambil video serta gambar tempat banjir tak perlulah. Nanti jalan lagi sesak. Macam kawasan rumah saya di Seksyen23, Shah Alam ini. Kami semua dalam fasa membersihkan lumpur selain membuang barang-barang rosak.

“Kami perlukan lori untuk bawa keluar sampah dari dalam rumah yang sudah ditenggelami air. Boleh dikatakan ketika kejadian Sabtu lalu semua barang yang tak sempat diselamatkan di tingkat bawah tidak boleh digunakan lagi.

“Bukan kita halang sukarelawan datang tolong fasa selepas bencana, cuma peringatan ini hanya untuk mereka yang sekadar mahu tengok keadaan sebenar dan kemudian dibuat ‘content’ Instagram atau TikTok,” katanya kepada Kosmo! Online.

Berkongsi pengalaman berhadapan musibah, pemilik nama sebenar Farawahida Razali, 36, itu mengakui tidak perasan ketika air sudah naik hingga ke paras pinggang pada tengah malam Sabtu lalu kerana tertidur selepas mengambil ubat demam.

Katanya, suaminya meredah banjir untuk sampai ke kediaman mereka sempat mengalihkan televisyen serta barangan penting lain ke tingkat dua selepas air naik dengan cepat.

“Pada hari kejadian saya tak sihat. Suami pula ada urusan di luar. Petang itu semasa balik dia hubungi saya untuk maklumkan laluan masuk ke arah taman perumahan kami air sudah naik tinggi, tetapi saya tengok dari dapur parit belakang sudah penuh.

“Saya kemas mana yang patut barangan penting ke tingkat atas selain tak bagi suami balik dulu sebab risau. Tak sangka pula kami pun bakal jadi mangsa sebab sepanjang setahun tinggal di situ kami belum pernah berhadapan masalah banjir.

“Apabila suami tiba di rumah selepas lebih kurang sejam meredah air, saya berehat di bilik di tingkat atas kerana mengalami sakit kepala. Sekitar pukul 1 pagi saya terjaga apabila terdengar suami angkut beberapa barang lagi.

“Katanya air deras masuk secara tiba-tiba. Peralatan elektronik di dapur macam peti sejuk, ketuhar dan bermacam lagi memang tak sempat diselamatkan. Waktu itu kami mampu berdoa dan bertawakal sementara menunggu hari siang.

“Alhamdulillah kawasan kami air tak cecah bumbung, tapi kasihan dengan teman senasib yang habis musnah kediaman hanyut atau tenggelam sepenuhnya. Ramai juga kehilangan nyawa,” katanya yang mengalami kerosakan dua kereta.

Kata Fara lagi, rumahnya kini sudah dibersihkan semalam namun banyak barangan perabot, elektrik serta puluhan persalinan untuk persembahan pentas termasuk kasut yang disimpan di dalam stor dan bilik bawah disaluti selut.

Biarpun proses pembersihan mengambil masa yang panjang selain melalui pengalaman penuh emosi dan kebimbangan, anak seni kelahiran Taiping, Perak itu meluahkan rasa syukur kerana selamat.

“Pengalaman sebegini menginsafkan terutama kepada saya yang pertama kali melalui banjir di sini. Namun semangat prihatin seluruh rakyat Malaysia yang hulur bantuan dan bagi sokongan membuatkan kita yang kebingungan kembali tenang.

“Terima kasih tidak terhingga untuk barisan sukarelawan daripada agensi, NGO, korporat, individu dan semua yang turut mendoakan kesejahteraan mereka yang terjejas dalam situasi musibah ini,” luahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI