LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte menyifatkan peluang skuad bimbingannya untuk menjuarai Piala Liga England (EFL) sukar meskipun berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir musim ini.
Conte berpendapat, Spurs masih perlu melakukan banyak ‘kerja rumah’ berdasarkan aksi ketika meraih kemenangan 2-1 ke atas West Ham United pada aksi suku akhir di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi semalam.
Bagaimanapun, pengendali dari Itali itu mengakui akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan kelab berkenaan dapat menamatkan penantian 13 tahun untuk menjulang trofi.
“Ia sesuatu yang bagus buat Spurs melangkah ke pentas separuh akhir kejohanan ini. Ia membuktikan kelab ini mempunyai keinginan untuk bergelar juara sama seperti tiga pasukan lain seperti Liverpool, Chelsea dan Arsenal.
“Namun, ia bukan sesuatu yang mudah. Walaupun saya gembira dengan prestasi hari ini tetapi masih banyak perkara perlu ditingkatkan terutama ketika kami memegang penguasaan bola.
“Pemain perlu sentiasa mengekalkan intensiti permainan pada tahap tertinggi. Tugas kami lebih mencabar apabila kebanyakan pemain masih dalam fasa pemulihan selepas situasi Covid-19 sebelum ini,” kata Conte.
Dua gol Spurs diperoleh menerusi Steven Bergwijn dan Lucas Moura, manakala jaringan tunggal West Ham dihasilkan oleh Jarrod Bowen.
Laluan Spurs ke pentas final sangat mencabar apabila dijadualkan bertemu juara Eropah, Chelsea di peringkat separuh akhir pada 5 Januari depan.
– AGENSI