SEBERANG PERAI – Satu kegiatan pengedaran dadah jenis ganja yang bergiat aktif sejak Jun lalu tumpas selepas polis melakukan enam serbuan di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) selama enam hari sehingga kelmarin.
Menerusi siri serbuan berkenaan, lima lelaki warga tempatan berusia antara 30 hingga 52 tahun ditahan bersama 198 ketulan mampat ganja seberat 142.3 kilogram (kg) yang bernilai kira-kira RM355,785.
Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, suspek ditahan secara berasingan dalam serbuan di beberapa buah rumah dan sebuah rumah kedai.
“Serbuan bermula di sebuah rumah di Seberang Jaya pada Jumaat lalu membabitkan tangkapan seorang lelaki bersama enam ketulan mampat ganja seberat 5.2 kg.
“Manakala menerusi lima lagi serbuan di Bukit Mertajam, Permatang Pauh dan Seberang Jaya, kita menahan empat individu lain selain merampas 192 ketulan mampat ganja lagi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini hari ini.
Menurut Shafee lagi, siasatan polis mendapati sindiket berkenaan hanya sempat melakukan kegiatan itu dalam tempoh kira-kira tujuh bulan sebelum berjaya dibongkar pihaknya.
“Sindiket dipercayai bergiat aktif sejak Jun tahun ini dan dipercayai ganja berkenaan adalah bagi pasaran tempatan.
“Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati tiga daripada suspek positif ganja,” katanya lagi.
Beliau berkata, polis turut menyita empat buah kenderaan dan wang tunai yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM133,600.
Menurutnya, suspek yang bekerja kilang, penaiga dan penganggur itu masing-masing direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE