PETALING JAYA – ANIH Berhad, pengendali Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) memaklumkan kesemua laluan di lebuh raya telah dibuka secara berperingkat bermula pukul 6 petang tadi.
ANIH dalam satu kenyataan berkata, pengguna jalan raya dinasihati untuk tetap berhati hati dan mematuhi tanda arah terutama di laluan kontra Sungai Dua, iaitu di Kilometer(KM) 74.8 hingga KM 77.3 yang masih dibuka.
“Pengguna yang ingin ke Pekan Karak perlu membuat pusingan U sebelum Plaza Tol Karak dan susur keluar menghala ke Karak.
“Bagaimanapun, laluan di KM 76 sehingga KM 78.8 masih ditutup untuk kerja-kerja pembersihan.
“Manakala bagi laluan menghala ke Kuala Lumpur, hanya lorong laju akan dibuka di Bentong bermula dari KM 66 sehingga KM 70,” kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, ANIH menjelaskan semua pengguna dinasihati mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“ANIH akan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Orang ramai boleh layari laman rasmi media sosial Lembaga Lebuh Raya Malaysia untuk maklumat sahih dan terkini,” ujarnya. – K! ONLINE.