KEMAMAN – Pengusaha kedai makan yang menjumpai ketulan batu berlilin pada akhir bulan lalu akur dengan keputusan analisis dikeluarkan Jabatan Perikanan Terengganu yang mengesahkan objek itu bukan muntah ikan paus.
Begitupun, Aida Zurina Long, 41, bersedia untuk melakukan ujian semula bagi menentukan ketulenan objek tersebut sekiranya terdapat pakar-pakar lain yang berminat.
“Saya bersedia untuk memberi sampel batuan berlilin ini kepada mana-mana pihak yang mahu mengujinya.
“Sejujurnya saya tidak kecewa apabila dimaklumkan ia bukan tulen kerana tidak menaruh harapan tinggi sejak awal lagi. Saya anggap ini bukan rezeki keluarga kami,” katanya ketika ditemui di kedai makannya di Kemasik di sini semalam.
Aida Zurina memberitahu, dia tidak pernah berangan untuk menjadi jutawan, sebaliknya niat asalnya untuk mengetahui kandungan sebenar bagi memuaskan hati sendiri.
Buktinya, wanita itu berkata, dia tidak menjual ketulan tersebut pada hari pertama ditemui biarpun pernah ditawarkan harga lumayan oleh banyak pihak sebelum ini.
“Saya akan terus menyimpan objek ini sebagai kenangan berharga. Lagipun sejak penemuan ketulan berlilin ini tular di media sosial, pelanggan yang datang ke kedai makan semakin bertambah saban hari,” katanya.
Tambah Aida Zurina, disebabkan itu, dia terpaksa melanjutkan operasi perniagaan sehingga pukul 10 malam setiap hari sejak minggu lalu.
Berita berkaitan: [VIDEO] Rezeki ‘terpijak’ jumpa muntah ikan paus
Berita berkaitan: Ketulan batu berlilin disahkan bukan muntah ikan paus