SHAH ALAM – Ibarat sudah jatuh, ditimpa pula tangga.
Itu keluhan penduduk sekitar Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, yang mendakwa caj menunda kenderaan agak mahal dan tidak munasabah sehingga membebankan mereka.
Penduduk Pangsapuri Andorra, Mak Chi Minh, 51, berkata, kereta Proton Iswara miliknya mengalami kerosakan teruk akibat ditenggelami air sejak Sabtu lalu.
“Ia menyebabkan saya terpaksa menghantar kereta itu ke bengkel untuk dibaiki.
“Namun, saya terkejut apabila caj tunda yang perlu dibayar berjumlah RM250 walaupun lokasinya hanya beberapa kilometer (km),” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tinjauan mendapati ribuan kenderaan mangsa yang rosak akibat banjir masih tersadai di tepi jalan dan kawasan kediaman.
Bagi pemandu lori, Taslim Kudin, 53, caj itu perlu lebih murah bagi membantu mangsa kurang berkemampuan yang tiada biaya insurans tunda kenderaan.
“Saya turut terkesan apabila dua kereta tenggelam sepenuhnya dalam banjir berkenaan.
“Selain caj tunda, saya perlu memikirkan kos membaiki kereta yang rosak teruk,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Abu Soid Sahabudin, 40, berkata, dia turut terkejut caj tunda mencecah sehingga RM300 walaupun jarak lokasi hanya berdekatan.
“Caj itu dianggap tidak munasabah dan pengusaha tunda kenderaan sepatutnya lebih bertimbang rasa dengan nasib mangsa.
“Dua kereta saya rosak sekali gus dan turut memerlukan kos pembaikian berjumlah ribuan ringgit, itu tidak termasuk rumah lagi,” tambah Abu Soid.