fbpx

Menara Merdeka 118 megah lagi bermakna di lokasi tapak warisan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMANDANGAN dari udara bangunan Merdeka 118.

MENARA Merdeka 118 milik PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PMVSB) yang merupakan anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) menambahkan lagi seri latar langit Kuala Lumpur yang sudah sedia ikonik.

Dengan pemasangan puncak menaranya, Merdeka 118 melakar sejarah baharu sebagai bangunan tertinggi bukan sahaja di Malaysia dan Asia Tenggara, bahkan kedua tertinggi di dunia pada ketinggian 678.9 meter.

Ia telah mengambil tempat yang sebelum ini dipegang Menara Shanghai di China dengan ketinggian 632 meter selepas bangunan tertinggi di dunia iaitu menara Burj Khalifa di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan ketinggian 828 meter.

Menara ikonik Merdeka 118 ini mempunyai makna yang tersendiri baik dari segi nama mahupun reka bentuk, terutamanya bagi rakyat Malaysia.

Nama “Merdeka” dipilih bersempena lokasinya yang terletak berhadapan tapak warisan Stadium Merdeka yang menyaksikan detik sejarah terpenting bagi Malaysia iaitu pengisytiharan kemerdekaan pada tahun 1957.

Dari segi reka bentuk pula, puncak menara Merdeka 118 simbolik kepada bentuk tangan Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang dijulang tinggi ketika melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali. Nombor “118” pula menandakan jumlah tingkat menara tersebut.

REKA bentuk Merdeka 118 diilhamkan daripada simbolik julangan tangan Tunku Abdul Rahman ketika melaungkan kemerdekaan.

Pembangunan yang unggul ini bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan baharu malah lebih bermakna apabila digabungkan dengan usaha pemuliharaan tapak warisan negara.

Sebagai pemilik tunggal Stadium Merdeka dan Stadium Negara, PNB telah mengambil inisiatif untuk mengekalkan kedua-dua stadium ini. Dengan kerjasama Badan Warisan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara (JWN), PNB juga telah melaksanakan kerja pemuliharaan untuk mengembalikan Stadium Merdeka kepada keadaan asalnya seperti pada tahun 1957.

Antara kerja pemuliharaan Stadium Merdeka yang dijalankan termasuklah pengurangan kapasiti tempat duduk kepada kapasiti asalnya, iaitu sebanyak 20,000 unit, pembinaan semula papan paparan dan pemuliharaan padang bola kembali ke keadaan asal.

Menurut Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Encik Ahmad Zulqarnain Onn, PNB amat menitikberatkan kepentingan mengekalkan dan memulihara warisan kebangsaan yang juga merupakan identiti negara agar tidak lapuk ditelan zaman dan seterusnya dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

“Kami berharap dengan usaha baik pulih serta pemuliharaan yang dijalankan, lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati kemudahan stadium apabila dibuka dan lebih menghargai warisan sejarah negara ini,” katanya.

Dengan usaha pemuliharaan teliti yang dilaksanakan, Stadium Merdeka telah meraih Anugerah Kecemerlangan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk Program Pemuliharaan Warisan Kebudayaan (Asia Pasifik) pada tahun 2008.

PEMANDANGAN menara Merdeka 118 dari Stadium Merdeka.

Selain Stadium Merdeka, struktur dan kegunaan Stadium Negara turut dikaji melalui sebuah kajian kemungkinan (feasability study) untuk dijadikan sebuah aset komersial dengan mengambil kira seni bina asal stadium.

PNB berhasrat untuk mengaktifkan semula gelanggang tertutup pertama negara ini dengan menjadikannya stadium bertaraf dunia bagi penganjuran acara sukan mahupun konsert hiburan.

Projek pembinaan Merdeka 118 terbahagi kepada tiga fasa. Pembinaan menara Merdeka 118, pusat beli-belah 118 Mall dan infrastruktur kawasan sekitarnya membentuk fasa pertama sejak tahun 2016.

Fasa kedua melibatkan pembinaan taman linear Merdeka Boulevard at 118, manakala fasa ketiga merangkumi pembinaan tiga menara kediaman eksklusif mengelilingi menara Merdeka 118.

Dengan keluasan lantai sebanyak 3.1 juta kaki persegi, menara Merdeka 118 menawarkan 1.7 juta kaki persegi luas sewaan bersih ruang pejabat Gred A. 118 Mall pula menyediakan kira-kira sejuta kaki persegi ruang niaga yang boleh disewa.

Ruang pejabat Gred A merangkumi 83 tingkat manakala 17 tingkat teratas menara Merdeka 118 pula akan diduduki oleh Hotel Park Hyatt yang pertama di Malaysia.

Presint Merdeka 118 juga bakal menawarkan daya tarikan baharu yang lain daripada yang lain. Pada aras 115 dan 116 menara Merdeka 118 terletaknya dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara, The View at 118 di mana pengunjung dapat menikmati pemandangan panoramik bandar raya Kuala Lumpur.

Bagi yang ingin merehatkan minda dari kesibukan kota, bolehlah berkunjung ke Merdeka Boulevard at 118, sebuah taman linear berkonsepkan ruang terbuka seluas empat ekar yang dihiasi kehijauan dan landskap bertemakan air.

LAKARAN tingkat bawah menara Merdeka 118 yang dilengkapi pelbagai daya tarikan.

Selain itu, presint ini juga bakal menempatkan sebuah muzium tekstil, Muzium Tekstil Merdeka yang menampilkan tekstil dunia Melayu; Little M; sebuah Pusat Jagaan Kanak-Kanak PNB; sebuah pusat didikan khas bagi kanak-kanak berumur tujuh tahun dan ke bawah serta sebuah masjid baharu, Masjid Merdeka yang mampu menampung sehingga 3,000 orang jemaah.

Presint Merdeka 118 merangkumi segala aspek kehidupan, pekerjaan dan sosial melalui komponen dan kemudahan yang bakal disediakan.

Dengan pelbagai program yang dirancang serta lokasi strategiknya di kawasan bersejarah di pusat bandar lama Kuala Lumpur, presint ini dijangka akan menjadi tumpuan dan destinasi sambutan bagi pengunjung dari dalam dan luar negara. – K! ONLINE

 

Sebarang pertanyaan berkaitan ruang pejabat di menara Merdeka 118, sila hubungi:

Duncan Scott (Rahim & Co International Property Consultants) 012 203 5745, [email protected]

Quiny Lee (JLL) 03 2260 0648 / 016 2250725, [email protected]

Sebarang pertanyaan berkaitan ruang beli-belah di 118 Mall, sila hubungi:

Gina Long Ahmad (PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad) 011 1284 9600, [email protected]

Zuraidah Khalil (Nawawi Tie Leung) 03 2161 7228, [email protected]

Wong Jia Jin (Husband Retail) +852 9065 4538, [email protected]

Untuk maklumat lanjut mengenai pembangunan Merdeka 118, sila layari:

https//www.merdeka118.com/ atau e-mel ke [email protected]

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI