MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Anthony Martial dilaporkan bakal mengadakan perbincangan bersama pengurus pasukan itu, Ralf Rangnick mengenai peluangnya untuk meninggalkan pasukan itu bulan depan.
Pemain berusia 26 tahun itu dilaporkan berhasrat untuk menyertai Sevilla pada jendela perpindahan Januari ini selepas kecewa apabila gagal mendapatkan minit permainan di Old Trafford musim ini.
Ejennya, Philippe Lamboley mendedahkan kepada umum awal bulan ini bahawa Martial terdesak untuk mencari pasukan baharu yang mampu memberinya lebih banyak peluang beraksi.
“Anthony berhasrat untuk meninggalkan United pada Januari nanti. Dia hanya mahu beraksi dan tidak mahu terus kekal di sini sebagai pemain simpanan. Saya akan mengadakan rundingan bersama pihak pengurusan,” katanya.
Martial sebelum ini mengalami kecederaan lutut menyebabkan dia terpaksa diketepikan pada aksi menentang Crystal Palace dan Norwich City, namun kembali menjalani latihan semalam selain mencari peluang bertemu Rangnick bagi mengadakan perbincangan.
Rangnick sebelum ini memberi bayangan bahawa tidak akan menghalang pemainnya untuk berhijrah ketika mengakui bahawa United ketika ini memiliki skuad yang agak besar.
Sementara itu, Sevilla pula dikatakan hanya berminat untuk mendapatkan khidmat Martial secara pinjaman.
Sevilla ketika ini memerlukan khidmat penyerang bagi menguatkan lagi pasukan apabila mereka berpeluang untuk menamatkan penantian memenangi La Liga sejak musim 1945/46 apabila berada di kedudukan kedua ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Real Madrid. – AGENSI