PENYATUAN dua hati antara pelakon dan pengacara popular Uyaina Arshad dengan penyanyi Raja Syahiran akhirnya terpateri menerusi ikatan pernikahan.
Mahligai cinta dibina pasangan sejoli itu tidak hanya menutup tirai 2021 dengan pelbagai kenangan manis yang dicipta bersama, malah turut membuka lembaran baharu buat mereka.
Melangsungkan pernikahan secara sederhana dan penuh norma baharu, pasangan itu selamat bergelar suami isteri tepat pukul 9.03 pada tarikh yang istimewa, 21 Disember 2021 selepas dua tahun membaja kasih.
Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad dinikahkan abang kandungnya, Mohd. Attaful Uzair Arshad bersaksikan Pendaftar Pernikahan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd. Abd Nasir Abdullah.
Pada majlis tersebut, rombongan pihak lelaki menyerahkan sebentuk cincin dan gelang tangan emas buat mempelai perempuan tanpa pertukaran dulang hantaran antara kedua belah pihak.
Pada masa sama, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan dan persetujuan kedua-dua belah keluarga.
Ujian, syukur
Uyaina, 29, ketika ditemui selepas majlis akad nikah memberitahu, tiada apa yang lebih menggembirakan selain meluahkan rasa syukur ata kelancaran urusan pernikahannya.
Katanya, walaupun terpaksa menempuhi pelbagai ujian dan ‘drama’ sebelum pernikahan berlangsung, tetapi semuanya dipermudahkan Maha Esa.
“Alhamdulillah. Majlis pernikahan kami berjalan dengan lancar. Sebenarnya kami sudah merancang pernikahan ini sejak beberapa bulan lalu, namun banyak pertukaran dari segi perancangan majlis.
“Faktornya disebabkan disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang sentiasa berubah. Selain itu, kejadian banjir buruk yang berlaku dua hari sebelum majlis akad nikah turut memberi cabaran besar buat kami,” katanya.
Meneruskan perkongsian, Syahiran atau nama lengkapnya Raja Syahiran Raja Azhanrianshah berkata, dia dan isteri reda meskipun apa yang dirancang sebelum ini tidak dapat direalisasikan pada hari bahagia mereka.
Ujar Syahiran, 28, walaupun majlis malam berinai yang sudah disusun atur berbulan lamanya terpaksa dibatalkan disebabkan pelamin dihanyutkan air banjir, namun itu tidak menjadi penghalang untuk dia menghalalkan Uyaina sebagai suri hatinya.
“Kalau ikutkan, ada majlis malam berinai yang dibuat pada malam sebelum akad nikah keesokan harinya.
“Namun, majlis tersebut terpaksa dibatalkan selepas pelamin bertemakan ‘Arabian Night’ yang dirancang tidak dapat dibuat kerana dihanyutkan banjir.
“Meskipun diduga dengan pelbagai ujian, kami berdua bersyukur kerana akhirnya dapat juga disatukan sebagai pasangan suami isteri yang sah,” katanya.
Tangguh
Tidak setakat diuji dengan kejadian tersebut persis tajuk lagu Pelamin Anganku Musnah, kedua-dua pasangan itu sekali lagi akur apabila terpaksa membatalkan percutian bulan madu di Eropah seperti yang dirancang.
Kata Uyaina yang popular dengan drama Love Elsa, hasrat tersebut terpaksa dibatalkan serta-merta dek kes Covid-19 yang semakin meningkat di sana.
“Kami diberitahu kes di sana memang sedang meningkat. Pada masa sama ada juga saudara di sana yang positif Covid-19, maka lebih baik kami tangguhkan dahulu.
“Jadi buat masa ini, kami bercadang untuk melawat keluarga dan saudara-mara yang tidak dapat menghadiri majlis pernikahan untuk memperkenalkan satu sama lain dengan keluarga besar masing-masing,” katanya.
Tidak menolak
Ditebak mengenai zuriat dan adakah mereka sudah merancang untuk mempunyai anak dalam masa terdekat, Syahiran tidak meletakkan sebarang jangka masa tertentu.
Kata Syahiran yang popular menerusi lagu Jangan Panggil, buat masa ini dia dan isteri belum ada perancangan khusus mengenai soal zuriat, namun tidak sama sekali menolak jika dikurniakan rezeki lebih awal.
“Kami tidak merancang soal anak. Bila-bila saja kami bersedia untuk ada anak kalau sudah diberikan rezeki. Doakanlah yang baik-baik untuk kami berdua.
“Tapi buat masa ini, biarlah kami fokuskan dahulu dengan kerja-kerja seni. Paling penting kami dah melangkah ke satu fasa terpenting iaitu pernikahan,” katanya.
Begitu juga Uyaina, dia turut menyatakan kesediaan bergelar seorang ibu apabila sudah tiba masanya nanti.
“Apabila sampai masanya nanti dan rezeki sudah menyebelahi saya dan suami, pasti kami akan kongsikan.
“Buat masa sekarang, biar kami susun perlahan-lahan lembaran dan perjalanan baharu hidup sebagai suami isteri. Tetapi pada masa sama tetap fokus dengan kerjaya seni masing-masing,” ujarnya bahagia di sisi suami tercinta.