PETALING JAYA – “Luah rasa sedih dalam puisi pula dilabel sebagai remaja bermasalah.”
Demikian respons pelakon cilik berbakat besar, Puteri Balqis apabila ditanya netizen tentang dirinya selepas digelar sebagai remaja yang memberontak gara-gara fesyen yang digayakannya tular baru-baru ini.
Perkara tersebut diluahkan pemilik nama penuh Puteri Balqis Azizi, 14, itu menerusi sesi soal jawab dalam Instagram miliknya sekali gus meleraikan persoalan ramai mengenai kehidupannya bersama ibu tersayang, Norashikin Mohd. Aziz ketika ini.
“Pemikiran kebanyakan orang ialah melakukan trend bodoh menampakkan mereka normal namun meluahkan rasa sedih dalam puisi pula dipandang sebagai remaja bermasalah.
“Jauh dari lubuk hati, ingin dijelaskan bahawa kehidupan saya dan ibu masih baik. Kehidupan kami dipenuhi dengan kegembiraan,” jawabnya kepada seoang netizen.
Sementara itu, dalam hantaran lain, dia yang juga pernah memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Televisyen Asia ke-19 itu turut memberitahu tidak pernah merasa menyesal apabila kehidupan sukarnya dipaparkan dalam program Bersamamu sekitar awal tahun lalu.
“Menyesal atau tidak masuk program Bersamamu? Adakah perkara tersebut membawa perubahan dalam kehidupan awak?” soal seorang lagi netizen kepada pelakon drama Akulah Balqis itu.
Jawabnya: “Tidak pernah menyesal. Dari situ saya kenal siapa kawan, musuh dan orang yang sepatutnya saya bantu. Saya berikan semula cinta kepada mereka yang memerlukan bantuan.”
Semalam, dia turut mendedahkan ibunya merupakan seorang wanita yang mempunyai tatu namun sangat menghargai alam dan sering membantu haiwan biarpun sekecil serangga.
Terdahulu, nama Puteri Balqis kembali menjadi bahan bualan netizen apabila berkongsi foto memakai skirt pendek dan berstoking panjang berwarna hitam yang dihiasi corak tengkorak sehingga mencetuskan tanda tanya ramai mengenai kehidupan terkininya.
Untuk rekod, sekitar awal tahun lalu namanya mendapat perhatian ramai apabila dilaporkan mengalami masalah jantung dan kesempitan hidup sehingga terpaksa menjual buku puisi bersama ibunya di sekitar ibu negara. – K! ONLINE