LONDON – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel mengakui sangat gembira menyaksikan persembahan penjaga gol kedua, Kepa Arrizabalaga yang beraksi cemerlang memastikan kejayaan pasukan itu ke separuh akhir Piala Liga England (EFL) musim ini.
The Blues mara selepas menewaskan Brentford 2-0 pada aksi suku akhir di Stadium Brentford Community awal pagi semalam.
“Saya kagum dengan prestasi Kepa (Arrizabalaga). Persembahan yang dipamerkannya tidak mengejutkan saya kerana dia sentiasa memberikan aksi terbaik setiap kali diberikan peluang beraksi.
“Inilah yang ditunjukkannya dalam setiap sesi latihan. Hasilnya, dia memainkan peranan penting memastikan kejayaan kami ke separuh akhir,” kata Tuchel.
Penjaga gol skuad antarabangsa Sepanyol itu menafikan beberapa peluang daripada jentera serangan Brentford dalam babak pertama.
Kesabaran Chelsea akhirnya terbalas apabila berjaya meraih dua gol pantas dalam tempoh lima minit menerusi jaringan sendiri pemain Brentford, Pontus Jansson pada minit ke-80 dan sepakan penalti Jorginho (m-85).
“Para pemain mengekalkan disiplin mereka walaupun sukar untuk menembusi benteng pertahanan Brentford. Mentaliti positif ini memainkan peranan penting terhadap kejayaan kami,” jelas Tuchel.
Chelsea selepas ini bakal bertemu seteru London, Tottenham Hotspur dalam dua aksi separuh akhir pada 5 dan 12 Januari depan. – AGENSI