PETALING JAYA – Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida menyeru kepada orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan agar tidak tertumpu di sesebuah kawasan semata-mata.
Sebaliknya kata Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 50, sebaliknya masyarakat perlu peka ketika ingin membantu kerana masih ramai mangsa yang tidak mendapat bantuan sewajarnya.
Keadaan itu berlaku kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan di Dengkil, Selangor.
Dia yang berada di Kampung Chemperai, Dengkil bagi tujuan menyalurkan bantuan menyatakan, penduduk di situ tidak menerima bantuan mencukupi.
“Saya tak puas hatilah di kawasan diuar-uarkan contohnya di Hulu Langat dan sebagainya, banyak sangat bantuan. Di sini, mana? Mana?
“Kalau nak bagi bantuan, hantarlah ke sini di kampung ini. Kalau di sana sampai berlonggok-longgok, melimpah ruah. Di sini tak cukup. Tak cukup bantal, toto, dapur, tong gas dan air,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram.
Vida turun padang menyertai misi bantuan dengan pasukannya disertai dua orang anaknya iaitu Cik B dan Kacak.
Sedih melihat situasi yang berlaku terhadap mangsa di kampung tersebut, Vida menyeru orang ramai agar datang menghantar bantuan ke kawasan itu yang tidak mendapat liputan meluas.
“Saya seru kepada orang ramai, kalau nak beri bantuan, biarlah sampai betul kepada mangsa.
“Bukannya berlebihan, berlonggok makanan dan air minuman. Apa yang kalian hantar di sana, marilah hantar ke sini. Tolong! Kasihan tak ada orang tolong,” rayunya.
Hujan lebat yang melanda negara sejak minggu lalu menyebabkan beberapa buah negeri terjejas teruk akibat banjir yang melanda sehingga mengorbankan ramai nyawa.
Selain daerah Hulu Langat, beberapa kawasan di Dengkil turut dinaiki air tinggi sehingga menyebabkan rumah penduduk tenggelam selain banyak jalan terputus hubungan. – K! ONLINE