PETALING JAYA – Kerajaan akan menyediakan generator dan sistem pemancar mudah alih sebagai langkah awal menyelesaikan masalah liputan komunikasi di kawasan yang terjejas akibat banjir.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, penyediaan kemudahan tersebut akan ditempatkan di lokasi yang tiada bekalan elektrik.
“Antara tindakan segera yang diambil bagi masalah liputan komunikasi yang terjejas akibat banjir adalah penyediaan genset di lokasi infrastruktur komunikasi yang tiada bekalan elektrik.
“Kita juga akan melakukan pemasangan ‘Coverage on Wheels’ (COW) atau sistem pemancar mudah alih bagi memberi liputan perkhidmatan sementara yang lazimnya digunakan sewaktu bencana dan kecemasan,” katanya dalam ciapan di Twitter sebentar tadi.
Sementara itu, sebanyak 418 infrastruktur komunikasi sudah dibaiki manakala 406 lagi sedang giat diperbaiki untuk manfaat mangsa banjir.- K! ONLINE.