PUTRAJAYA – Semua pemimpin parti politik diberi masa selama dua minggu untuk meneliti kembali segala cadangan sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti dibentangkan.
Perkara itu antara saranan disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerusi satu kenyataan hari ini.
“Mereka kini ada tempoh waktu 14 hari untuk menilai semula segala usul, pindaan atau maklum balas sebelum draf RUU itu dibawa kepada peringkat yang seterusnya pula,” katanya.
Semalam, beliau sekali lagi mengadakan pertemuan dengan ramai pemimpin siasah dan membentangkan dapatan mengenai kajian serta bancian inisiatif antilompat parti tersebut.
RUU itu pernah dibangkitkan oleh pelbagai pihak termasuk bekas menteri, Datuk Seri Azalina Othman dan Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz bagi mengekang gejala ‘beli’ wakil rakyat yang turut disokong Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang menyifatkan usaha itu dapat membendung ‘budaya katak’ serta mengkhianati mandat parti dan rakyat.
Mengulas lebih lanjut, Wan Junaidi berkata, inisiatif khas itu menyaksikan wakil pembangkang buat julung kali sanggup duduk bersama untuk berbincang bagi capai matlamat yang sama.
“Fasa berikutnya selepas ini ialah kami akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Peguam Negara bagi merumuskan RUU itu sebelum dapat dibentangkan di Parlimen pula,” tegasnya.
Tidak ketinggalan dibincangkan semalam ialah mengadakan usul bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri yang hanya disandang tidak lebih daripada 10 tahun.
Beliau berharap perkembangan RUU tersebut akan memulihkan kembali keyakinan rakyat kepada sistem urus tadbir negara meskipun proses pelaksanaannya mengambil sedikit masa.
Langkah telus kerajaan mewujudkan undang-undang baharu itu jelas berada di landasan tepat dengan semua parti politik mengenepikan perbezaan demi menjayakannya.
Segala inisiatif dirangka pihaknya kata Wan Junaidi antara sebahagian Agenda Transformasi Kerajaan yang turut melibatkan antaranya Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik.
“Usaha ini juga meliputi pindaan Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952 kepada Kod Etika Anggota Parlimen sejajar penambahbaikan institusi Parlimen Malaysia,” jelas beliau. – K! ONLINE