WASHINGTON – Sebuah sekolah di Tacoma, Amerika Syarikat baru-baru ini memberi penghormatan kepada bekas pelajarnya yang tidak berjaya mendapatkan diploma 78 tahun lalu, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Bekas pelajar Sekolah Tinggi Stadium, Ernie Reda, 94 yang juga veteran Perang Dunia Kedua telah dihantar menyertai kem tentera pada 1943.
Reda sepatutnya menamatkan pengajiannya pada tahun tersebut, namun tidak berbuat demikian kerana dia bertempur dalam Pertempuran Bulge dan mengambil bahagian dalam Pendaratan Normandy di Perancis
Memandangkan dia terlepas peluang untuk mendapatkan diplomanya, cucu Reda, Heather Anderson mahu memberikan datuknya penghargaan tersebut.
Dia kemudiannya menghubungi pengetua sekolah tersebut iaitu Shannon Marshall dan bertanya sekiranya sekolah itu berminat untuk mengambil bahagian dalam ‘Pengiktirafan Operasi’, sebuah program yang dimulakan oleh Hal Ehwal Veteran.
Ia berfungsi untuk mengiktiraf individu yang tidak dapat menamatkan sekolah tinggi.
Upacara itu dijalankan pada 20 Disember lalu bertempat di auditorium asal sekolah tersebut yang sudah wujud sejak 1906.
“Ia merupakan hari paling hebat dalam hidup saya. Ini merupakan hadiah Hari Krismas terbaik,” kata Reda.
Biarpun terpaksa menunggu sehingga 78 tahun, dia teruja kerana akhirnya berjaya mendapatkan diplomanya.
Malah, lelaki itu juga turut diberikan salinan buku tahunan Sekolah Menengah Stadium pada 1943. – AGENSI