fbpx

Tidak sangka banjir besar kembali selepas 50 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYED Dahlan menunjukkan barangan rumahnya yang dijemur selepas kejadian banjir yang berlaku di Kampung Bemban, Simpang Durian.- Foto oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

JELEBU – Tiada siapa sangka banjir besar yang kali terakhir berlaku 50 tahun lalu di Simpang Durian di sini kembali terjadi baru-baru ini.

Begitulah juga yang dilalui oleh warga emas, Syed Dahlan Syed Abdul Rahman, 71 dari Kampung Jerang, Simpang Durian di sini yang pada mulanya menyangkakan, air hujan yang mencapai paras lutut di kawasan rumahnya hanyalah banjir biasa.

Jelas beliau, semasa kejadian keluarganya sedang menerima tetamu di rumah dan sedang menjamu selera sehinggalah air hujan mula sampai ke bahagian lutut.

“Saya memaklumkan kepada anak saya bahawa tidak perlu berbuat apa-apa kerana saya sangkakan ia hanya banjir biasa. Kawasan ini memang sering dilanda banjir namun rupa-rupanya ia banjir besar yang memusnahkan hampir keseluruhan rumah saya ini.

“Kali terakhir banjir besar yang berlaku adalah pada tahun 1971. Saya tidak menyangka ia berlaku kembali dan saya bersyukur kerana anak-anak saya ada di rumah ketika kejadian,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut hari ini.

Syed Dahlan berkata, paras air banjir yang berlaku kali ini mencecah ke paras bahu sehingga ia turut memusnah dan merosakkan barangan yang terdapat di dalam rumah.

“Banjir kali ini agak cepat terjadi, saya hanya ingat ia banjir biasa yang berlaku setiap tahun. Saya hanya mampu menyelamatkan diri bersama anak-anak ke rumah keluarga berdekatan yang berada di tempat tinggi,” katanya.

Sementara itu, seorang anaknya, Syarifah Za’faran Syed Dahlan, 34, berkata, dia dan dua abangnya turut berada di rumah pada waktu banjir berkenaan.

“Kami mempunyai lapan orang adik beradik dan bergilir-gilir pulang melawat ayah di kampung setiap minggu.

“Ketika kejadian saya dimaklumkan oleh ayah bahawa ini hanya banjir biasa namun, saya tetap mengalihkan beberapa barang sebelum segera keluar dari rumah dan pergi ke tempat lebih tinggi,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI