BEKAS pengendali Felda United, Mohd. Nidzam Jamil mengakui keputusan untuk bersama Selangor FC adalah satu pilihan tepat dan tiada istilah ‘turun pangkat’ selepas menerima tawaran selaku sebagai penolong ketua jurulatih musim depan.
Kata Nidzam, peluang untuk kembali membantu skuad Gergasi Merah adalah sesuatu yang sukar dilepaskan terutama dalam menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan yang diberi tanggungjawab memacu pasukan tahun depan.
“Sejujurnya saya ada terima beberapa tawaran lain selaku ketua jurulatih dari pasukan Liga Premier, tetapi saya tidak memilih ke sana kerana merasakan ini waktu terbaik untuk balik ke Selangor.
“Ini bukan pilihan yang sukar buat saya untuk katakan tidak kepada Selangor kerana semua orang tahu Selangor adalah antara pasukan yang baik dalam kancah Liga Malaysia.
“Malah saya tertarik dengan projek yang sedang dilakukan Selangor dengan memberikan penumpuan serius terhadap pembangunan pemain-pemain muda dari Selangor 2 serta graduan dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang turut berada di sini.
“Ini bukan soal hendak menjadi nombor satu (ketua jurulatih) atau dua (penolong) kerana saya pernah berada di kedua-dua jawatan tersebut sebelum ini sebaliknya apa paling penting, apa yang saya boleh tawarkan kepada Selangor pada musim depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Nidzam bakal bergandingan dengan Karsten Neitzel yang turut dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Selangor FC bagi membantu kepada pengendali import Jerman, Michael Feichtenbeiner pada hadapi musim 2022.
Ketika bergelar pemain profesional, Nidzam pernah menyarung jersi Merah Kuning selama lima musim dari tahun 1999 hingga 2004.
Nidzam dianggap sebagai pengendali meningkat naik di Malaysia ketika menjadi ketua jurulatih Felda United selama dua musim pada 2019 dan 2020 selain pernah menjadi penolong ketua jurulatih kepada B.Satianathan pada musim 2017 serta 2018.