PETALING JAYA – Pelakon Nora Danish kagum dengan semangat suaminya, Nedim Nazri menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir sehingga sanggup berkaki ayam.
Nora atau nama lengkapnya, Nora Mohd. Danish Hanif, 39, memaklumkan, dia berasa musykil bagaimana suaminya itu mendapat semangat sebegitu sehingga sanggup meredah kawasan banjir penuh lumpur.
“Berkaki ayam? Suami saya sebenarnya seorang yang penggeli teramat. Sangat-sangat bangga dengan awak sayang.
“Saya tak tahu mana awak dapat semangat semua ini. Empat hari berturut-turut, dari satu tempat ke satu tempat sampai tak makan.
“Pagi-pagi dah bangun, telefon sana sini cari tempat yang memerlukan bantuan sampai bergaduh nak tolong orang,” ujarnya menerusi satu entri Instastory.
Kata pelakon yang cukup dikenali menerusi siri komedi Puteri itu, dia akan terus memberikan sokongan terhadap suaminya demi misi menghulurkan bantuan kepada rakyat terkesan disebabkan bencana banjir.
“Bangga dengan awak sayang. Teruskan kerja kuat awak untuk rakyat. Sayang awak,” kata Nora lagi.
Dalam pada itu, Nedim atau nama sebenarnya, Nedim Sujak Nazri Aziz menerusi Twitter memberi peringatan kepada sesiapa yang ingin memberikan bantuan supaya jangan hanya ‘dropship’ barang.
Sebaliknya, menurut Nedim, adalah lebih baik jika sesiapa yang berniat untuk menghulurkan bantuan agar turun padang sendiri.
“Nasihat saya, jangan drop (letak sahaja) barang di satu tempat sebaliknya, pergi ke rumah mangsa (banjir) sendiri.
“Kalau pergi ke pusat pemindahan sementara (PPS), panggil mangsa ke kereta atau lori anda dan bagi mereka ambil sendiri barang keperluan dan baki barang yang ada, baru lepaskan kepada mereka yang in-charge (dipertanggungjawabkan),” ciap Nedim.
Terdahulu, Nedim berkolaborasi dengan badan bukan kerajaan (NGO), The Hope Branch bersama beberapa selebriti lain seperti Harith Iskander menghulurkan bantuan bencana banjir di kawasan terjejas sekitar Lembah Klang. – K! ONLINE