fbpx

Sampan cendawan catat rekod dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Setiap kali Ayers mendayung sampan tersebut di atas air, ia akan menumbuhkan cendawan baharu. – Katy Ayers

LINCOLN, NEBRASKA – Dua individu dari Nebraska, Amerika Syarikat menerima pengiktirafan Guinness World Records kerana membina sebuah sampan menggunakan cendawan sepanjang 228.6 sentimeter, lapor agensi berita United Press International semalam.

Katy Ayers dan William ‘Ash’ Gordon, menerima pengiktirafan tersebut bagi kategori bot miselium kulat terpanjang di dunia.

Menurut Ayers, sampan digelar Myconoe itu dihasilkan menggunakan kulat, dan setiap kali dia mendayungnya di atas air, ia akan menumbuhkan cendawan baharu.

“Diiktiraf dalam Guinness World Records adalah impian sejak dahulu yang kini menjadi nyata.

“Saya pernah cuba untuk mencipta rekod ketika kanak-kanak, namun gagal. Kini, sukar untuk saya menggambarkan rasa gembira kerana akhirnya saya menerima pengiktirafan ini ketika dewasa,” katanya.

Sementara itu, Gordon yang merupakan pemilik ladang cendawan Nebraska Mushroom LLC berkata, projek tersebut adalah sebagai satu cara untuk mempraktikkan minatnya terhadap penyelidikan cendawan.

“Saya berharap agar semua orang di seluruh dunia akan membaca mengenai kisah kami dan mendapat inspirasi untuk turut sama mempraktikkan penyelidikan cendawan.

“Pengalaman membina sampan ini turut memberi inspirasi kepada saya untuk terus bereksperimen dengan komposit miselium dan mengkaji cara baharu untuk memanfaatkan kelebihan kulat,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI