KLANG – Perbuatan seorang pengetua rumah anak yatim dan miskin yang mencabul kehormatan seorang gadis tiga tahun lalu berbalas selepas dijatuhi hukuman penjara 69 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Muhammad Azzam Zainal Abidin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Wan Abd. Hisham Wan Ahmad Tajuddin, 71, didapati bersalah atas empat pertuduhan pilihan.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan pihak pembelaan menangguhkan hukuman sehingga selesai proses rayuan.
Jumlah jaminan dinaikkan kepada RM12,000 daripada RM5,000 sebelum ini dan pasport antarabangsa milik tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Mengikut pertuduhan pilihan, Wan Abd. Hisham didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 16 tahun untuk mencabul kehormatannya.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di pejabat dan bilik mesyuarat rumah anak yatim dan miskin di daerah ini pada Ogos 2018 hingga Februari 2019. -K! ONLINE