PETALING JAYA – Seramai enam daripada 10 rakyat Malaysia mendakwa, kesihatan fizikal dan mental mereka tidak begitu ideal kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan norma baharu ekoran pandemik Covid-19.
Menurut Tinjauan Inersia Kesihatan Asia Pasific Herbalife Nutrition 2021, tempoh dua tahun lalu telah menyebabkan ada individu yang terpaksa mengorbankan amalan penting dan menyemai tabiat kurang baik semasa berkurung di rumah.
Pengarah Kanan/Pengurus Besar, Herbalife Nutrition Malaysia, Steven Chin berkata, tinjauan ini mendedahkan 82 peratus responden di negara ini mendedahkan bahawa mereka telah mengalami kemerosotan kesihatan fizikal dalam tempoh 12 bulan lepas disebabkan kekurangan kegiatan fizikal kerana beberapa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jelasnya, faktor lain adalah pengambilan lebih banyak makanan tidak sihat (42 peratus) dan kekurangan sokongan komuniti semasa mengikuti program senaman (34 peratus).
“Bersesuaian dengan tahun baharu yang bakal tiba dan orang ramai berazam untuk menjadi lebih sihat, Herbalife Nutrition berharap, dapat membantu lebih ramai rakyat meningkatkan tahap kesihatan dan mengembalikan bentuk fizikal agar dapat menikmati kehidupan lebih sihat.
“Selain menggalakkan senaman dan pemakanan seimbang yang sememangnya penting, kami juga melihat pemakanan dari sudut menyeluruh untuk membantu orang ramai rasa lebih sihat, dengan menikmati makanan yang lebih baik dan mengambil jumlah nutrien secukupnya untuk keperluan tubuh,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Pengarah Kanan Pendidikan dan Latihan Pemakanan Sedunia di Herbalife Nutrition, Susan Bowerman menjelaskan, menyimpan jurnal makanan adalah sesuatu yang amat bermanfaat kerana jurnal itu akan mengingatkan kepada mana-mana individu tentang realiti amalan pemakanan.
“Kita perlu tahu bila kita sudah berasa kenyang dan kita juga perlu sentiasa beringat semasa kita makan.
“Ramai rakyat sering makan secara berlebihan ketika menmenghadiri majlis sambutan perayaan.
“Mulakan dengan menghidangkan sajian yang lebih kecil dalam pinggan. Kunyah secara perlahan-lahan dan kekal peka terhadap apa yang anda rasa dan makan sehingga anda tidak lagi berasa lapar. Jangan makan sehingga anda terlampau kenyang,” tambah beliau.