PETALING JAYA- Seorang pengguna media sosial berkongsi sebuah video memaparkan baju terpakai berlonggok untuk disumbangkan kepada mangsa banjir sehingga mencetuskan perbalahan dalam kalangan netizen.
Video yang dikongsi @izaty_rosli itu menunjukkan baju terpakai berlonggok di luar bilik atas lantai bersama kotak dipercayai di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa-mangsa banjir.
“Kalau nak bagi bantuan baju lebih baik dimasukkan dalam plastik dan membuat label. Sangat sedih lihat keadaan baju berlonggok seperti ini,” katanya.
Perkongsian itu turut mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial yang meminta mangsa banjir di PPS agar menghargai sumbangan pakaian yang diberikan penderma dan bersikap matang malah ada yang turut berkongsi pengalaman yang sama semasa musim banjir pada 2014.
“Bersyukurlah dengan bantuan yang diberikan. Pada masa darurat ini, semua pihak tidak mampu untuk memberi bantuan yang sempurna,” kata @user6789.
“Sewaktu jadi mangsa banjir pada 2014, saya dan keluarga menerima bantuan (pakaian) berlonggok seperti ini. Saya dan keluarga duduk dan lipat semua pakain dan susun kemas. Walaupun hanya bantuan baju, kami rasa sangat bersyukur dan hargai bantuan yang diberi,” ujar @fatttyrah.
“Teringat masa tahun banjir 2014 di Kelantan. Kami terima bantuan berlonggok seperti ini tetapi kami tidak mengeluh dan berebut untuk ambil, alhamdulillah,” tulis @shilawatiy.- K!ONLINE