LONDON – Manchester United dilaporkan bersedia untuk mendapatkan pemain baharu pertama mereka pada jendela perpindahan musim sejuk nanti selepas pasukan itu kini dikendalikan oleh Ralf Rangnick.
Masalah di bahagian tengah selain masa depan tidak menentu pemain mereka, Paul Pogba yang bakal menamatkan kontrak hujung musim ini menyebabkan United enggan menunggu lama dan terus mendapatkan pemain baharu.
United dilaporkan sudah mendapatkan persetujuan awal daripada pemain tengah Lazio, Sergej Milinkovic-Savic untuk melengkapkan perpindahannya, namun ia dilaporkan hanya akan berlaku pada musim panas nanti.
Ejen pemain berkenaan, Mateja Kezman mengakui bahawa kliennya itu sudah bersetuju untuk meninggalkan Lazio tetapi mahu menghabiskan tempoh enam bulan lagi bersama kelab itu sehingga musim ini berakhir.
Laporan menyebut, Milinkovic-Savic berdepan masalah bersama Lazio apabila hubungannya bersama jurulatih, Maurizio Sarri agak dingin.
Juventus juga dilaporkan berminat untuk mendapatkan pemain berkenaan dengan harga yang diminta Lazio adalah sebanyak €75 juta (RM356 juta).
Nama Milinkovic-Savic dikaitkan dengan United sejak 2018 ketika era Jose Mourinho membimbing pasukan itu tetapi nilai perpindahan semasanya ketika itu setinggi €100 juta (RM474 juta) menyebabkan The Red Devils tidak bersedia.
Kali ini, kehadirannya di Old Trafford dikaitkan dengan mengisi tempat yang bakal ditinggalkan oleh Pogba yang enggan menandatangani kontrak baharu dan mahu menghabiskan tempoh semasanya sebelum berpindah pada Jun nanti.
Pemain antarabangsa Serbia itu memiliki kombinasi fizikal dan teknikal yang baik menyebabkan dia dilihat sesuai oleh Rangnick untuk United. – AGENSI