MONTREAL – Gara-gara dituduh menjadi punca kekalahan Lewis Hamilton untuk bergelar juara dunia Formula Satu (F1) 2021, pemandu Williams Racing, Nicholas Latifi menerima ancaman bunuh di media sosial.
Pada perlumbaan terakhir F1 di Grand Prix (GP) Abu Dhabi, pemandu Mercedes, Hamilton selangkah untuk menjuarai gelaran dunia F1 buat kali kelapan selepas menguasai perlumbaan tersebut dengan meninggalkan Max Verstappen (Red Bull) dengan jarak agak jauh.
Bagaimanapun, peluang Hamilton untuk muncul juara seakan-akan di sabotaj selepas Latifi terbabas sebelum melanggar penghadang di selekoh ke-14 ketika perlumbaan hanya berbaki lima pusingan untuk tamat.
Keadaan tersebut menyebabkan laman sosial peribadi pemandu Williams Racing itu menerima cemuhan berbaur ugutan selain menuntut pemandu Kanada itu meninggalkan perlumbaan F1 musim depan.
“Sejurus berakhirnya perlumbaan, saya tahu perkara yang saya akan hadapi terutama kecaman di media sosial. Pada ketika itu, saya berasakan lebih baik sekiranya padam Twitter dan Instagram milik saya untuk beberapa hari.
“Kecaman, penderaan dan ancaman di media sosial bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ia adalah realiti nyata yang sedang kita hadapi ketika ini.
“Apa yang mengejutkan saya, nada kebencian yang melampau selain ugutan bunuh yang diterima sejak insiden perlumbaan terakhir di Abu Dhabi semakin menjadi-jadi dan keterlaluan.
“Kepada mereka yang ingin menjelaskan pendapat berkenaan insiden itu, saya tiada masalah tetapi bila melakukan ancaman terhadap orang sekeliling saya adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan mereka bukan peminat sebenar sukan tersebut,” katanya.
Pada saingan di Abu Dhabi, Verstappen bergelar juara dunia 2021, sekali gus menamatkan dominasi Hamilton. – AGENSI