fbpx

Kurangkan acara hiburan? Jangan bunuh jiwa rakan seperjuangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGANJURAN Malam Gala Amal Bunga Bunga Cinta Misha Omar pada 19 Februari depan dijadikan landasan kebajikan amal bagi membantu pertubuhan kebajikan, anak yatim, warga emas, penggiat seni yang memerlukan bantuan selain mangsa banjir.

PETALING JAYA – Penyanyi Misha Omar terkilan dengan sikap segelintir penggiat seni yang mematahkan semangat rakan seperjuangan lain apabila menyarankan aktiviti hiburan dikurangkan berikutan situasi semasa musibah banjir.

Katanya, andai anak seni sendiri bertindak menyekat punca rezeki artis lain terutama ketika industri baru bernafas semula, secara tidak langsung mereka turut membunuh jiwa yang sedang bergelut untuk hidup.

“Setiap orang punya pendapat mereka sendiri dan saya akur dengan hakikat itu. Tetapi kita tidak boleh memaksa atau laksanakan apa yang mereka suarakan tanpa melihat sesuatu dalam konteks lebih meluas.

“Sebagai selebriti dan punya ramai pengikut, mereka kena ingat, apa yang disuarakan menjadi perhatian peminat masing-masing dan pasti akan dipersetujui jika bersandarkan emosi.

“Lihatlah sekeliling, tengok perjuangan rakan lain. Industri kita baru hendak kembali. Jangan bunuh jiwa atau patahkan semangat anak seni lain yang mahu cari rezeki demi kelangsungan hidup keluarga.

“Kita semua ada mulut yang perlu disuap. Macam persembahan amal ini, jadi punca rezeki kepada pemuzik, pengurus acara dan ramai lagi. Saya tak harap orang jangan lagi pandang serong pada hiburan, cuma keluarkan pandangan rasional,” katanya.

DUA penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia iaitu Dafi Ismail dan Zarol Zarif diundang pada penganjuran Malam Gala Amal Bunga Bunga Cinta Misha Omar.

Misha menyuarakan perasaan kesal itu ketika ditemui pada sidang media majlis Malam Gala Amal Bunga Bunga Cinta Misha Omar anjuran The H Entertainment Sdn. Bhd. di ibu negara, kelmarin.

Persembahan amal yang turut mengundang dua bintang Akademi Fantasia (AF), Dafi Ismail dan Zarol Zarif itu bakal berlangsung di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 19 Februari 2022.

Hasil jualan meja persembahan makan malam berdurasi lebih sejam tersebut, akan disalurkan kepada pertubuhan kebajikan, anak yatim, warga emas, penggiat seni yang memerlukan bantuan selain mangsa banjir.

Pada masa sama, Misha atau nama sebenar Samihah@Aisah Omar menyatakan tidak bermakna ada dalam kalangan anak seni hanya melihat saja tanpa membantu individu mahupun mangsa banjir andai tidak berkongsi gambar dalam media sosial.

“Tidak bermakna kita tak peduli dengan keadaan mereka yang terjejas. Hati kita tetap bersama mereka. Mahu keluar rumah untuk bekerja pun rasa berat. Kita bukan tak fikir kesusahan yang dihadapi orang lain atau langsung tidak membantu.

“Saya juga ada ramai kawan yang nampak diam tapi hakikatnya mereka ini aktif memberikan pertolongan kepada yang memerlukan dengan cara lain. Tiada gambar (di lokasi banjir) bukan bermakna kita buat tak tahu,” katanya lagi.

Enggan larut dalam emosi, penyanyi lagu Pulangkan itu menegaskan hiburan positif juga bagus untuk membantu meredakan ketegangan mental apabila mampu menjadi ‘escapism’ kepada kebanyakan individu.

“Kita tak boleh nafikan hiburan boleh jadi ‘escapism’ ketika melalui masa sukar. Pastinya ada yang cakap lebih baik berzikir, mengaji. Ya, itu betul tetapi hiburan positif juga diperlukan seseorang untuk kembali tenang.

“Kalau kita tenang-tenang saja menghiburkan dan tidak menyalurkan aura negatif, semua akan jadi positif. Persembahan macam ini pun bukan nak ‘berhuha’ saja, ada matlamat meringankan beban insan lain, bagi pekerjaan dan sebagainya.

“Kena tengok semua ini dalam perspektif yang lebih besar. Fikir dan cakap yang baik-baik atau diam saja daripada mencetuskan sesuatu yang boleh melukakan orang lain ketika sama-sama sedang berusaha bangkit untuk kelangsungan hidup.

“Saya pun orang yang meraikan kepelbagaian termasuk perbezaan pendapat. Memang semua berhak luah pandangan tetapi janganlah ikut kepala sendiri. Masuk dalam kasut orang lain. Hidup ini bukan pasal diri kita saja,” tambah penyanyi bervokal gemersik itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI