SEREMBAN – Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM7,000 daripada seorang individu supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang ke atas lima pekerja asing, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Zamri Ali, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.
Mohd. Zamri yang bertugas di Balai Polis Sikamat didakwa meminta wang tunai RM4,000 daripada seorang individu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas lima pekerjanya bagi kesalahan di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Imigresen 1959/63 bertempat di Balai Polis Sikamat di sini pada pukul 6.30 petang, 23 Jun 2019.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Tertuduh turut didakwa memperoleh suapan wang RM3,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lima pekerja terbabit pada pukul 9 malam di lokasi dan tarikh sama. Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Negeri Sembilan setiap bulan sehingga kes selesai. Kes akan disebut semula 24 Januari depan. – K! ONLINE