KUALA TERENGGANU – Ketulan batu berlilin yang dijumpai seorang pengusaha kedai makan pada akhir bulan lalu disahkan bukan muntah ikan paus.
Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, keputusan tersebut dimaklumkan Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan Universiti Malaysia (UMT), Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari berdasarkan analisis sampel ketulan itu.
Beliau berkata, mengikut analisis makmal yang dilakukan bersama Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang dan UMT, objek tersebut tidak memiliki ciri-ciri ambergis atau muntah ikan paus.
“Analisis makmal dikeluarkan semalam mendapati sampel ketulan tersebut mendapati ia tidak mempunyai bahan aktif iaitu ambrein, epicoprosterol dan coprostanone.
“Tiga elemen tersebut terkandung dalam muntah ikan paus yang tulen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ruzaidi berkata, analisis termal juga mendapati ketulan yang dijumpai Aida Zurina Long, 41, tersebut melebur pada suhu 76.04 darjah celcius sedangkan titik lebur muntah paus tulen ialah 82.32 darjah celcius.
Tambah beliau, analisis makmal mendapati objek tersebut yang sedikit berserabut berkenaan terbentuk daripada pengumpulan bahan organik seperti asid lemak.
Kosmo! 15 Disember lalu melaporkan Aida Zurina menemui objek menyerupai ketulan lilin dipercayai muntah ikan paus sewaktu memancing bersama keluarganya di Marang pada akhir bulan lalu. – K! ONLINE