GURUN – Kira-kira 100 penduduk Kampung Sungai Badak di sini kesal dengan tindakan orang luar yang menjadikan bahu jalan berhampiran kampung berkenaan tapak pembuangan sampah haram sejak setahun lalu.
Penduduk, Mohd. Rahimi Hassan, 64, berkata, keadaan sampah yang bertaburan di tepi Jalan Simpang Tiga Kampung Sungai Badak itu menyakitkan mata memandang serta berbau busuk.
Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan penduduk kampung dituduh tidak tahu menjaga kebersihan, sedangkan perbuatan tersebut dilakukan orang dari luar.
“Kami malu kerana terpalit dengan perbuatan itu apabila orang ramai menuduh kami tidak mempunyai kesedaran sivik.
“Orang luar turut mendakwa kami bersikap pengotor kerana membuang sampah sesuka hati sedangkan setiap keluarga kampung ini membakar sampah di kawasan rumah masing-masing sebagai cara melupuskannya,” katanya di sini semalam.
Penduduk lain, Hamid Mat Nayan, 51, berharap pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan terhadap individu tidak bertanggungjawab yang membuang sampah di situ.
“Kami selalu bergotong-royong membakar sampah di situ selain membersihkan kawasan berkenaan kerana jika dibiarkan akan diselongkar oleh kera dan anjing liar.
“Penduduk pernah menegur orang luar yang datang membuang sampah di situ tetapi keesokannya kawasan itu kembali dipenuhi sampah,” ujarnya.
Seorang penduduk lain, Mat Akhir Jab, 48, berkata, dia hairan dengan sikap tidak bertanggung jawab orang luar yang suka membuang sampah di situ selama ini.
“Di situ tiada pun tong sampah yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan, tetapi kenapa lokasi itu tetap menjadi pilihan untuk dibuang sampah.
“Keselamatan pengguna laluan itu turut terancam terutamanya kepada penunggang motosikal pada waktu malam kerana jika lalai pasti mereka akan melanggar plastik sampah yang berselerak di atas jalan,” katanya.